Nissan Patrol Rali Paris-Dakar 1987 direstorasi semula

Jika berbicara tentang Rali Paris-Dakar (kini lebih dikenali sebagai Rali Dakar), tentunya kita akan sentiasa terbayang akan Mitsubishi Pajero yang merupakan antara ‘watak penting’ dari Jepun dalam perlumbaan rali padang pasir sejauh lebih dari 13,000 km, merentasi Eropah, Algeria, Niger, Mali, Mauritania dan Senegal tersebut. Namun untuk pengetahuan anda, Nissan juga menyertai perlumbaan berkenaan pada era 80’an menggunakan jentera Nissan Patrol.

Pada tahun 1987, dua buah Nissan Patrol Fanta Limon disediakan untuk Rali Paris-Dakar oleh sekumpulan juruteknik dan jurutera Pusat Teknikal Nissan Eropah (NTCE) setelah hasil yang agak memberangsangkan ketika mereka menyertai berberapa rali berskala kecil dengan jentera berkuasa diesel pada tahun sebelumnya. Patrol yang dibina berkenaan menggunakan enjin turbo diesel 2,800 cc empat-silinder, menjana kuasa 146 hp.

Patrol Fanta Limon bernombor 212 tidak bernasib baik kerana telah terbalik dan tidak menamatkan perlumbaan. Tetapi sebuah lagi Patrol yang bernombor 211 bukan sahaja telah berjaya menamatkan perlumbaan, malah telah merangkul tempat kesembilan secara keseluruhan, tempat pertama dalam kategori diesel, seterusnya menjadi jentera berenjin diesel paling berjaya dalam sejarah rali berkenaan ketika itu.

Setelah tamatnya perlumbaan, Patrol Fanta Limon berkenaan terus direhatkan di sebuah muzium di selatan Sepanyol. Namun, 28 tahun kemudian, sekumpulan jurutera NTCE menjejaknya semula dan mengambil keputusan untuk merestorasinya semula, sebagai menghormati warisan kejayaan mereka.

Proses restorasi berkenaan bermula pada tahun 2014, dan hanya lengkap sepenuhnya tahun ini. Masa dua tahun diambil untuk menyiapkannya kerana ini merupakan projek sambilan mereka, yang hanya berjalan pada setiap hujung minggu.

“Enjinnya dalam keadaan yang sangat teruk. Ia adalah mustahil untuk dihidupkan kerana kebanyakkan komponen telah terkakis dengan teruk. Gandar hadapan telah mengalami kerosakan, tetapi bahagian yang paling teruk adalah komponen elektrik, yang telah dirosakkan dengan teruk oleh tikus,” kata juruteknik Juan Villegas, salah seorang ahli yang terlibat dalam restorasi berkenaan.

“Kami mahukan kereta ini sama seperti keadaan asalnya dari semua segi, dan kami bertuah kerana mempunyai lukisan dan manual servis lama,” tambah Villegas. Juruteknik berkenaan turut menyatakan mereka melakukan larasan akhir sama dengan larasan yang dilakukan pada perlumbaan Paris-Dakar 1987.

Nissan Patrol Rali Paris-Dakar 1987 direstorasi semula

Pasukan restorasi ini menerima dana “Performance Innovation” dari Nissan, yang sememangnya dikhaskan untuk projek sedemikian. Menurut syarikat berkenaan lagi, krew pasukan tersebut terpaksa mencari alat ganti di seluruh Eropah untuk melengkapkan tugas ini. Jika tidak memperolehi komponen new old stock (NOS), mereka terpaksa membeli komponen terpakai dan merestorasinya semula.

Setelah projek ini selesai, pasukan restorasi itu membawa semula Patrol Fanta Limon bernombor 211 tersebut ke Senegal. Pedro Diaz Illan yang menguruskan bahagian kejuruteraan elektrikal dan elektronik bukan sahaja terlibat dalam projek restorasi ini, malah dia juga merupakan ahli NTCE asal yang membina Patrol berkenaan dan kini masih lagi bertugas di NTCE.

“Fikiran, hati, dan jiwa kami telah diserahkan untuk projek ini dan ia bukanlah mudah,” kata Illan dan menambah, “tetapi untuk melihat semula kereta ini berada di padang pasir adalah fantastik.”

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required