Baru saja dipertonton ketika pameran Los Angeles Auto Show bulan lalu, Mazda CX-5 2017 kini mula dijual untuk pasaran Jepun. Tempahan bagi model ini sudah mula diambil, dan dijangka akan mula diserahkan kepada pemilik pada 2 Januari.

Ia menggunakan barisan enjin sedia ada, dengan tambahan enjin 2.2 liter SkyActiv-D Twin Turbo diesel dengan janaan kuasa 172 PS/420 Nm serta enjin 2.0 liter (155 PS/196 Nm) dan 2.5 liter (184 PS/245 Nm) SkyActiv-G yang dipadankan dengan transmisi SkyActive-Drive automatik enam-kelajuan. Sistem pacuan pula terdirid daripada dua jenis; 2WD atau Mazda i-Activ All-Wheel Drive.

Untuk pasaran Jepun, Mazda CX-5 dijual pada harga 2,462,400 yen (RM93,600) bagi CX-5 20S 2WD petrol, hinggalah 2,689,200 yen (RM102,200) bagi versi 20S Proactive 2WD yang ditambah dengan ciri i-ActivSense sepenuhnya sebagai ciri keselamatan serta rim aloi 19 inci.

Bagi varian dengan enjin yang lebih besar, versi 25S AWD dan 25S Proactive AWD masing-masing dijual pada harga 2,689,200 yen dan 2,916,000 yen (RM110,800), dan bagi spesifikasi paling tinggi, 25S L Package yang melibatkan tambahan material kulit serta lampu kabus LED dijual pada harga 2,986,200 yen (RM113,500) bagi model 2WD dan 3,213,000 yen (RM122,100) bagi versi AWD.

Bagi enjin diesel, varian spesifikasi asas XD dijual pada harga 2,775,600 yen (RM105,500) untuk 2WD dan 3,002,400 yen (RM114,100) untuk AWD, varian XD Proactive pula pada harga 3,002,400 yen bagi 2WD dan 3,229,200 yen (RM122,800) bagi AWD. Sementara itu, varian XD L Package dijual pada harga 3,299,400 yen (RM125,400) bagi 2WD dan 3,526,200 yen (RM134,000) bagi AWD.

Merupakan model generasi baharu Mazda yang pertama menerima reka bentuk semula, CX-5 baharu ini tampil dengan pendekatan rekaan Kodo dengan lebih “pekat”, dengan tema “refined toughness” digunakan pada kenderaan terbabit. Gril depan yang besar mungkin nampak biasa, sebaliknya ia menampilkan corak tiga dimensi bahari bagi mendapatkan imej yang lebih sporty. Lampu utama juga kelihatan lebih “sempit”.

Sementara itu, “sayap” yang ada pada bahagian gril berkenaan juga lebih lebar dan kini diletakkan di bawah lampu utama. Bampar pula menggunakan bentuk trapezoidal untuk kelihatan lebih kukuh. Ia menggunakan SkyActiv-Body yang diperkukuh dilebih banyak bahagian, seperti A-pillar – kini 15.5% lebih kukuh daripada sebelumnya.

Model ini datang dengan ciri G-Vectoring Control sebagai standard. Dari segi keselamatan, ia dilengkapi antaranya oleh ciri seperti lampu adaptif LED, Trafic Sign Recognition, pengesan pejalan kaki bagi sistem Advanced Smart City Brake Support (SCBS) dan sistem Mazda Radar Cruise Control (MRCC) yang membolehkannya mengikut kenderaan di depan dari kedudukan pegun hingga 100 km/j.