Renault dan Nissan akan bekerjasama dalam membangunkan platform baharu bagi model kereta elektrik (EV) Zoe dan Leaf generasi akan datang, menurut Automotive News Europe. Malahan kerjasama di antara kedua-dua syarikat ini bagi mempertingkatkan lagi skala ekonomi, menurut matlamat yang ditetapkan oleh Carlos Ghosn selaku pengerusi dan CEO Renault-Nissan Alliance.

Di mana kedua-dua model kenderaan berkenaan akan berkongsi motor elektrik yang sama, tetapi boleh tampil dengan penggayaan yang tersendiri, ujar Arnaud Deboeuf, timbalan kanan presiden Renault-NIssan BV. Malah kedua-dua model juga akan bersaing dalam segmen yang sama, namun buat masa ini, Deboeuf enggan mendedahkan perincian lebih lanjut termasak mungkin ada perubahan saiz pada kenderaan terbabit.

Bukan itu sahaja, beliau juga tidak memaklumkan jangka waktu untuk memperkenalkan Leaf dan Zoe baharu, tetapi memberikan sedikit gambaran, ia akan berlaku selepas Leaf facelift pada 2018. Laman berita Perancis Les Echos melaporkan Zoe akan menjadi model pertama Renault-Nissan Alliance yang menggunakan platform EV baharu itu sebelum tahun 2020.

Walau pun berkongsi komponen, namun Renault dan Nissan mungkin akan menggunakan sel bateri yang berbeza, dengan pembelian terdahulu dari LG Chem, sementara Nissan pula akan mengeluarkan bateri sendiri, hasil kerjasama Automotive Energy Supply Corporation, bersama NEC. Walau bagaimana pun, Nikkei Asian Review melaporkan bahawa Nissan sedang mencari peluang untuk menghentikan kerjasama tersebut dan berpendapat membeli daripada pembekal luar lebih menjimatkan.