Naza Kia Malaysia telah membuka pusat kemudahan baru di Pulau Pinang – Kia Bayan Lepas, terletak di Jalan Sungai Tiram. Ia menyediakan khidmat 3S (jualan, servis dan alat ganti) kepada pelanggan di kawasan Bayan Lepas dan berhampiran dengannya.

Pusat khidmat ini dibina dengan kos RM1.2 juta, melibatkan bangunan berkeluasan 4,600 kaki persegi yang menempatkan pusat pameran untuk empat buah kenderaan, empat ruang servis kenderaan dan boleh menerima sehingga 14 kenderaan setiap hari.

Kia Bayan Lepas mempunyai sasaran jualan sebanyak 20 unit setiap bulan, dan ia juga menyediakan kemudahan lain kepada pengguna seperti ruang rehat dan sambungan WiFi sementara mereka menunggu kenderaan diservis. Syarikat itu juga menyatakan akan terus mempertingkatkan kemudahan lain di seluruh negara, dengan masa menunggu yang lebih pendek untuk servis selepas jualan.