Perkembangan terbaharu dalam penyelesaian antara Volkswagen AG dan pihak berkuasa Amerika Utara berhubung skandal penipuan ujian pencemaran enjin diesel menyaksikan syarikat berkenaan bersetuju untuk membeli semula 83,000 unit kenderaan yang dijana enjin 3.0 liter V6 TDI di Amerika Syarikat, dan juga 105,000 kenderaan yang dijana enjin 2.0 liter empat-silinder TDI di Kanada, menurut laporan Reuters.
Kenderaan yang terlibat untuk pasaran Amerika Syarikat termasuk VW Touareg dan Audi Q7 2009-2012, VW Touareg 2013-2016, Audi Q7 2013-2015, Porsche Cayenne 2013-2016 dan juga Audi A6 Quattro, A7 Quattro, A8 serta Q5 2014-2016.
Selain dari pembelian semula ini, VW turut bersetuju membayar lebih dari US$225 juta (RM1 bilion) kepada dana untuk mengurangkan pencemaran enjin diesel di Amerika, tambahan kepada US$2.7 bilion yang dipersetujui sebelum ini untuk menyelesaikan isu 475,000 kenderaan yang dijana oleh enjin 2.0 liter TDI.
Sejumlah US$2 bilion (RM8.96 bilion) tambahan akan diperuntukan bagi pembangunan dan infrastruktur kenderaan tanpa pencemaran dalam tempoh 10 tahun akan datang. Syarikat tersebut juga bersetuju untuk memperkenalkan sekurang-kurangnya tiga kenderaan elektrik sepenuhya (EV) dalam barisan modelnya menjelang 2020, termasuk model SUV. VW juga akan membayar saman berjumlah US$25 juta (RM12 juta) kepada lembaga udara California.
Di Kanada pula, Volkswagen akan mengeluarkan belanja sebanyak C$2.1 bilion (RM7.04 bilion) untuk membeli semula kenderaan-kenderaan dijana enjin 2.0 liter TDI yang terlibat dalam skandal ini, selain dari penalti sivil berjumlah C$15 juta (RM50.3 juta). Antara kenderaan yang terlibat adalah Jetta 2009-2015, Jetta Wagon 2009, Golf 2010-2013 dan 2015, Passat 2012-2015, Beetle 2013-2015, Golf Wagon 2010-2014, Golf SportWagen 2015 serta Audi A3 2010-2013 dan 2015 .