UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMW Toyota Motor) telah mengumumkan perlantikan Ravindran Kurusamy sebagai presiden baharu bagi syarikat tersebut. Beliau akan menggantikan Datuk Ismet Suki yang mengakhiri perkhidmatannya dengan UMW Toyota Motor selepas 26 tahun
Ketika mengumumkan perlantikan ini, Pengerusi Kumpulan UMW Holdings Berhad dan Pengerusi UMW Toyota Motor, Tan Sri Asmat Kamaludin, berkata, “Ravindran telah berkhidmat dengan syarikat ini selama 26 tahun, dan dalam tempoh itu, beliau telah dipertanggungjawabkan dalam beberapa jabatan berlainan. Ini merupakan peluang buat beliau untuk menggemudi operasi syarikat termasuk meneruskan kerjasama dengan rakan kongsi usaha sama, Toyota Motor Corporation”.
Sebelum perlantikan sebagai presiden yang berkuatkuasa mulai 1 Januari 2017 ini, Ravindran merupakan Pengarah Eksekutif bagi Jabatan Selepas Jualan, Belian, Jaminan Kualiti dan Harta.
“Saya sangat berbesar hati dengan perlantikan sebagai presiden UMW Toyota Motor dan ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih buat Datuk Ismet Suki kerana telah membawakan syarikat hingga ke tahap pada hari ini,” ujar Ravindran yang berazam untuk meneruskan momentum perkembangan syarikat bagi mengharungi saat yang mencabar dalam industri automotif.
Sambungnya lagi, “Menjadi objektif saya untuk memaksimakan prestasi keseluruhan Toyota bagi pasaran Malaysia dan ingin memastikan jenama ini kekal sebagai pemain utama dalam sektor automotif negara.”
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.