JPJ adakan ‘Ops Jalan’ – cari pesalah trafik sempena musim cuti, bermula 24-26 Dis dan 30 Dis-2 Jan

JPJ adakan ‘Ops Jalan’ – cari pesalah trafik sempena musim cuti, bermula 24-26 Dis dan 30 Dis-2 Jan

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan akan mengadakan Ops Jalan bermua hujung minggu ini dalam usaha untuk mengurangkan jumlah kemalangan dan pesalah trafik sepanjang musim cuti ini, seperti dilaporkan The Sun.

Operasi besar-besaran di seluruh negara ini akan melibatkan 1,500 orang pegawai dan akan berlangsung dari 24-26 Disember dan 30 Disember-2 Januari 2017; iaitu pada hujung minggu ini dan hujung minggu hadapan – kedua-duanya merupakan hujung minggu panjang dengan cuti umum pada Isnin.

Pengarah Penguatkuasaan JPJ, Datuk V. Valluvan Velloo berkata operasi itu akan menjadi satu daripada beberapa operasi lain yang sudah dirancang sempenan tempoh cuti panjang dan hujung tahun ini. Sebelumnya, pihaknya hanya giat menjalankan operasi sama pada Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina sahaja.

Antaranya, JPJ akan memberi tumpuan terhadap penunggang motosikal dengan spesifikasi tidak sah sepanjang operasi berkenaan. Mana-mana kenderaan yang didapati tidak mengikut spesifikasi teknikal – termasuk ekzos dan filem penapis haba (window tint) – akan disita bagi tempoh tidak lebih daripada 48 jam untuk tujuan pemeriksaan.

“Kami juga telah memberi arahan kepada pegawai JPJ disetiap negeri bahawa kadar kompaun yang akan dikenakan adalah maksimum bagi mana-mana pesalah trafik,” ujar beliau. Tiada rayuan yang akan dilayan, dan sama sekali tiada diskaun yang akan diberikan kepada pelaku.

Valluvan menambah, tindakan terhadap lebih daripada 7,000 pemandu yang menyalahgunakan lorong kecemasan sejak Mei lalu – yang mana 1,700 daripadanya dilaporkan oleh pengguna jalan raya – telah memberikan kesan positif dengan jumlah kenderaan yang menggunakan lorong berkenaan kini semakin berkurangan.

“Ketika kami memulakannya, terdapat beratus-ratus kes dilaporkan dalam seminggu. Tetapi, pada November, hanya ada satu ada dua laporan setiap hari. Saman yang dikeluarkan bagi kesalahan berkenaan juga telah menurun sebanyak 70%,” ujar beliau.

JPJ akan menggunakan pendekatan dan strategi yang berbeza, termasuk rondaan sepanjang waktu dan pemeriksaan kenderaan secara rawak di jalan-jalan terpilih termasuk juga menyamar sebagai orang awam dan mengambil gambar pesalah trafik.

“Kami juga akan memeriksa bas di terminal-terminal utama, termasuk brek dan tayar yang digunakan. Juga, pemeriksaan air kencing secara rawak terhadap pemandu. Kami juga akan menyamar menjadi penumpang dan merakamkan semua kesalahan yang dilakukan sehinggalah tiba ke destinasi akhir,” tambah beliau.

Bagaimanapun, menurut Valluvan, tidak akan ada sekatan jalan raya yang akan dilakukan dalam tempoh ini. Ia adalah bertujuan untuk memastikan tidak berlaku kesesakan trafik yang tidak perlu, selain daripada faktor jumlah pengguna yang ramai di atas jalan raya ketika itu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required