Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) hanya boleh mendapatkan pulangan model sekiranya dibenarkan untuk menaikkan kadar tambang bagi KTM Komuter iaitu dua sen bagi setiap kilometer.

Menurut pengerusi KTMB Datuk Nawawi Ahmad, setiap tahun syarikat tersebut terpaksa menanggung jerugian sebanyak RM50 juta, namun ini bukan disebabkan faktor kekurangan penumpang, laporan The Star.

“Kita mempunyai 52 juta penumpang yang menggunakan KTM dalam setahun, dan ini bukanlah disebabkan isu penjualan tiket,” ujarnya, sambil menambah harga tiket adalah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Beliau turut berkata, kos operasi KTMB bagi setiap kilometer adalah lebih tinggi berbanding kadar tambang per kilometer yang dikenakan.

Baru-baru ini, Nawawi turut berkata, sejak pengenalan Projek Penyambungan Jajaran bagi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) pada Jun lalu, KTMB telah menghadapi kekurangan kira-kira 15,000 pengguna setiap hari. Ia adalah disebabkan oleh pertembungan laluan di mana jajaran baharu berkenaan melalui laluan sama dengan khidmat KTMB.

Justeru, beliau berkata, bagi menaikkan modal syarikat, baru-baru ini, KTMB telah menjual pegangan saham di Sentul Raya yang bernilai RM252.42 juta kepada YTL Land & Development. “Kami kini berada dalam situasi yang memerlukan kami memacu sumber kewangan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kami, dan kami tidak mahu membebankan pihak Kerajaan,” ujarnya.

Beliau turut menambah, bagi megekalkan daya saing, syarikat ini perlu mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan dengan menambahbaik kekerapan dan ketepatan masa ketibaan tren terutamanya pada waktu puncak.