Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah memulakan siasatan terhadap seorang pemandu bas ekspres yang dirakam sedang menggunakan telefon bimbit serta merokok ketika memandu, memetik sebuah laporan dari Bernama.
Di dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan, SPAD memaklumkan pegawainya telah pun mengambil keterangan daripada pengarah syarikat pengendali bas ekspres berkenaan serta pemandu yang terlibat. “SPAD juga telah mengambil kenyataan daripada pengadu. Rakaman video berkenaan serta gambar yang dirakam akan digunakan sebagai bahan bukti di dalam siasatan ini,” memetik kenyataan tersebut.
Turut dinyatakan ialah, jika sabit kesalahan, pemandu berkenaan boleh dikenakan sama tidak lebih daripada RM2,000 atau penjara tidak lebih dari enam bulan, atau kedua-duanya sekali. Hukuman itu boleh dikenakan sekiranya beliau didapati bersalah membahayakan nyawa penumpang dan pengguna jalan raya yang lain, di bawah Seksyen 202 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
“Jika didapati bersalah merokok di dalam kenderaan awam, pemandu berkenaan boleh dijatuhi hukuman di awah Seksyen 203 (APAD) dan boleh didenda RM10,000 atau penjara tak lebih daripada dua tahun, atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan yang sama.
Sementara itu, syarikat pengendali bas pula boleh dihukum di bawah Seksyen 22 dan 23 akta yang sama, dengan hukuman denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM500,000, atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.