Notis panggilan semula dikeluarkan lagi untuk Porsche 918 Spyder, kali ini berkenaan masalah pada bahagian suspensi melibatkan 306 unit supercar hibrid berkenaan.

Menurut Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Nasional Amerika Syarikat (NHTSA), unit-unit Spyder 918 berkenaan dipanggil semula kerana “lengan kawalan bawah (lower control arm) retak yang mungkin akan menjejaskan pengendalian kereta tersebut, meningkatkan risiko kemalangan.” Porsche hanya menghasilkan 918 unit model ini, jadi 306 unit tersebut mungkin hanya unit yang dijual pada pasaran Amerika Syarikat sahaja.

918 Spyder dijana oleh enjin V8 4.6 liter NA digandingkan bersama dua motor elektrk, menghasilkan kuasa keseluruhan 887 hp dan tork maksima 1,275 Nm. Kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac berkembar PDK Porsche, membolehkan ia memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 2.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 340 km/j.

Sebelum ini, 918 terlibat dengan panggilan semula membabitkan penukaran komponen pada casis pada tahun 2014. Pada 2015, ia dipanggil semula untuk menukar abah-abah pendawaian (wiring harness) yang rosak manakala pada Julai lalu ia dipanggil lagi berhubung masalah cagak tali pinggang keledar.