Subaru telah mengesahkan bakal menyertai Tokyo Auto Salon 2017 dengan menampilkan beberapa model konsepnya. Ini termasuklah BRZ STI Sport Concept (seperti foto di atas), di mana model ini ditampilkan dengan set roda bersaiz 18-inci dan kit badan baharu.

Selain itu, apa yang boleh dilihat jelas termasuklah splitter hadapan, corong pengambilan sisi yang menggantikan lampu kabus dan logo STI. Model konsep ini kelihatan sedikit menyamai BRZ STI Performance Concept yang dipertontonkan di New York International Auto Show 2015.

Bukan itu sahaja, Subaru juga akan mempertontonkan model WRX S4 STI Sport Concept yang dikatakan “mengetengahkan prestasi pemanduan talaan STI termasuk menampilkan elemen dalaman dan luaran yang eksklusif dengan kualiti tinggi.” Selain model konsep, Subaru juga akan mendedahkan beberapa bahagian STI untuk model produksi iaitu bagi Levorg dan Impreza terbaharu.

Bagi kenderaan permotoran, jentera WRX STI NBR Challenge 2016 yang pernah bertarung di Nurburgring 24 Hours dan BRZ GT300 dari Super GT juga akan dipamerkan. Malah ia juga akan mempamerkan jentera WRX STI dari Japan Rally Championship serta BRZ dan Toyota 86 yang dipertingkatkan bagi rekaan 2017 untuk jentera siri perlumbaan.