Proton telah lama memperkatakan akan mengekport Iriz, namun setakat ini, masih tiada perkembangan mengenainya. Walau bagaimana pun, baru-baru ini, portal automotif Indonesia AutoNetMagz.com telah menyiarkan foto hatchback segmen-B ini yang dikesan di Jakarta, seakan memberikan petanda bahawa kebarangkalian ia akan dilancarkan di negara tersebut.

Unit Atlantic Blue dikesan di sebuah hotel dengan lencananya yang ditutup, namun bahagian lain terdedah begitu sahaja. Berdasarkan foto ini, ia adalah model asas 1.3 Standard manual, yang dikesan menerusi cermin pintu dan pemegang berwarna hitam, serta kurang dilengkapi dengan kit badan, lampu kabus hadapan dan bilah pengelap cermin belakang.

Bahagian dalamannya juga standard sahaja, dengan dilengkapi unit utama berserta Bluetooth dan roda stereng tanpa pelbagai-fungsi, serta tombol gear yang dipadankan dengan model spesifikasi Malaysia telah digantikan dengan elemen yang sama pada Savvy dan Satria Neo.

Di bawah bonetnya, ia pasti dijanakan oleh enjin 1.3 liter VVT (94 gp/120 Nm) yang digabungkan bersama transmisi manual lima-kelajuan, seperti model dalam pasaran kita. Dijangkakan spesifikasi dan elemen yang bakal ditampilkan lebih kurang sama dengan apa yang kita ada, tetapi terdapat perkhabaran bahawa pasaran Indonesia mungkin bakal menerima model 1.3 Premium CVT yang tidak terdapat di negara kita.

Proton di Indonesia tidak begitu aktif sejak kebelakangan ini, model terakhir yang dilancarkan di sana buat setakat ini ialah Suprima S pada tahun 2013. Iriz pernah dijangka akan dilancarkan pada Mei 2015, namun terpaksa ditunda kerana menantikan kelulusannya pada Oktober. Dan adakah Iriz akan benar-benarkan dilancarkan di pasaran Indonesia? Tunggu dan lihat.