Subaru telah mendedahkan perincian model WRX dan WRX STI versi 2018 yang dikemaskini dengan sedikit perubahan bagi memberikan rupa yang lebih segar, serta berberapa perubahan talaan dan sistem mekanikal yang dipertingkat.

Kedua-dua model ini menerima gril hadapan yang direka semula dan juga gril bahagian bampar yang lebih besar, memberikan rupa yang lebih agresif. Subaru juga telah memadan cermin tingkap yang lebih tebal pada kedua-dua model ini bagi memberikan kedapan bunyi yang lebih baik.

Pada bahagian kabin, WRX dan WRX STI diberikan kelengkapan dalaman dengan material yang dipertingkat, skrin paparan informasi berwarna pada bahagian tengah papan pemuka yang lebih besar, perehat tangan baharu dengan pemegang cawan, pemegang pintu baharu, serta pembuka but kargo baharu yang lebih cepat. Untuk model WRX Limited yang diberikan sistem keselamatan Eyesight, ia turut menerima EyeSight Assist Monitor, yang menggunakan LED untuk memaparkan status sistem pada cermin hadapan.

Untuk sistem mekanikal, kotak gear enam-kelajuan manual WRX dan WRX STI menerima mekanisma synchro dan mekanisma sistem klac baharu bagi memberikan petukaran gear yang lebih lancar. Sistem stereng kuasa elektrik kedua-dua model ini juga telah ditala semula bagi memberikan respon stereng yang lebih baik. Subaru turut menala semula suspensi WRX dan WRX STI bagi memberikan lebih keselesaan dan kawalan stereng yang lebih stabil.

Subaru WRX 2018 turut hadir dengan opsyen Performance Package yang terdiri dari perlalatan seperti tempat duduk hadapan larasan berkuasa lapan-hala dari Recaro, angkup brek berwarna merah, pad brek berprestasi tinggi dari Jurid serta roda aloi STI berdiameter 18-Inci. Pakej ini juga turut ‘membuang’ bumbung suria untuk tujuan mengurangkan berat keseluruhan.

Untuk WRX STI 2018 pula, sistem pacuan semua roda yang dilengkapi LSD bahagian tengah Driver Controlled Center Differential (DCCD) telah dirombak semula bagi memberikan “respon yang lebih lancar dan cepat”. Rim 19-inci STI turut dibekalkan secara standard buat pertama kali, dibaluti tayar 245/35R19.

Sistem brek turut mendapat peningkatan dimana ia telah dipadankan dengan angkup brek Brembo STI berwarna kuning dengan enam-pot pada bahagian hadapan menggantikan angkup Brembo empat-pot sebelum ini. Ia turut diberikan pad brek baharu untuk dipadankan dengan cakera brek yang ditebuk.

Walau bagaimanapun, tiada perubahan dibuat pada enjin kedua-dua model ini. Subaru WRX masih dikuasakan enjin boxer 2.0 liter turbo berkuasa 268 hp/350 Nm, manakala WRX STI pula dijana enjin boxer 2.5 liter turbo berkuasa 305 hp/393 Nm.

Kedua-dua model ini akan mula berada di bilik-bilik pameran di Amerika Syarikat bermula musim bunga tahun ini.

GALERI: Subaru WRX 2018

GALERI: Subaru WRX STI 2018