Barisan kenderaan Porsche 911 kini bertambah dengan pengenalan beberapa model GTS, termasuk Carrera GTS, Carrera 4 GTS (Coupe dan Cabriolet) dan Targa 4 GTS. Semua model ini menyertai model 911 Carrera facelift dan Turbo yang baru diperkenalkan sebelum ini.

Bagi model GTS ini, enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo yang digunakan mampu menghasilkan 450 PS dan 550 Nm tork, dan ini adalah 30 PS lebih berbanding 911 Carrera S dan 20 PS / 110 Nm lebih berbanding model GTS sebelum ini yang menggunakan enjin enam silinder N/A 3.8 liter. Enjin baru ini digabungkan dengan sama ada transmisi manual tujuh kelajuan atau automatik Porsche Doppelkupplung (PDK).

Sistem pengurusan suspensi aktif PASM datang secara standard pada model GTS baharu ini, dengan model GTS Coupe turut mendapat peningkatan casis PASM, yang merendahkan kenderaan sebanyak 10 mm. Pek Sport Chrono juga didatangkan secara standard, iaitu termasuk tapak enjin dinamik dan fungsi Launch Control.

Semua model 911 GTS (termasuk yang menggunakan pacuan roda belakang) juga menggunakan casis pacuan semua roda 911 Carrera 4 pacuan empat roda, seterusnya memberikan ia kedudukan yang sama – lebar 1,852 mm dan lebih lebar berbanding kereta 911 biasa.

Jika anda mencari 911 GTS yang paling laju, ia adalah 911 Carrera 4 GTS Coupe, yang boleh memecut 0-100 km/j dalam masa hanya 3.6 saat. Porsche memberitahu, semua model GTS akan mempunyai kelajuan maksimum tidak melebihi 312 km/j, dengan 911 Carrera GTS manual menjadi yang paling laju.

Membezakan 911 GTS dengan model 911 biasa adalah bampar hadapan unik, yang kelihatan seperti mendapat inspirasi daripada 911 GT3, serta sayap belakang yang diubahsuai. Ini adalah sebahagian daripada pakej luaran Sport Design, yang juga termasuk cermin sisi baharu, rim 20 inci dan logo GTS.

Pada bahagian lain, terdapat lampu belakang smoke, gril kemasukan udara hitam berkilat dan muncung ekzos berkembar di tengah. Pada model pacuan roda belakang (yang tiada nombor ‘4’ pada namanya), terdapat kemasan garis berwarna hitam di antara lampu belakangnya, manakala GTS 4WD mendapat kemasan yang berwarna lebih cerah. Tiang Targa pada model GTS diwarnakan hitam untuk mewujudkan penampilan yang berbeza.

Di dalam, anda boleh melihat logo GTS pada penyandar kepala, sementara pada roda stereng, peletak tangan dan konsol tengah, semuanya dibalut dengan kulit Alcantara. Pada panel meter pula terdapat kemasan aluminium brushed.