BMW Motorrad terus menunjukkan peningkatan jualan selepas enam tahun secara berturut-turut, dengan bagi tahun 2016, ia mencatat peningkatan sebanyak 5.9 peratus. Jumlah ini menandakan sebanyak 145,032 buah motosikal dan skuter berjaya dijual, berbanding pada tahun lepas cuma 136,963 buah.
Pasaran Eropah menjadi penyumbang utama kepada jualan BMW Motorrad, dengan Jerman mencatat 24,894 buah, diikuti 12,300 di Itali dan 9,520 di Sepanyol. Setiap negara ini menunjukkan peningkatan masing-masing sebanyak 4.5%, 10.3% dan 19.4%. Secara keseluruhannya, negara Eropah menunjukkan peningkatan 7.5%.
Sementara itu di Asia, China mencatat permintaan tertinggi untuk motosikal BMW, dengan jumlah jualan meningkat 52.7%, pada 4,580 unit. Thailand pula menunjukkan peningkatan sebanyak 42.1% berbanding tahun sebelum ini, dengan keseluruhannya berjumlah 1,819 unit.
Untuk Malaysia, BMW Motorrad menjual sebanyak 1,004 buah motosikal pada tahun 2016, seterusnya mencatat peningkatan sebanyak 16% berbanding tahun lepas. Jumlah ini adalah peningkatan paling tinggi yang pernah direkodkan oleh BMW di Malaysia.
Model paling laris dalam barisan motosikal BMW Motorrad adalah siri R, yang menggunakan enjin Boxer, di mana 53.6% daripada keseluruhan motosikal yang dijual adalah daripada model ini. Ia bersamaan 77,787 buah. Daripada jumlah ini, 25,336 buah adalah R 1200 GS, 21,391 GS Adventure dan 9,648 R 1200 RT.
Bagi model sports, model siri S mencatat jualan sebanyak 23,686 unit, menandakan 16.3% daripada jumlah jualan keseluruhan BMW Motorrad. 9,016 buah adalah S 1000 RR, manakala 8,835 buah lagi adalah model S 1000 XR.
Bagi tahun 2017, menurut presiden BMW Motorrad, Stephan Schaller, syarikat akan memperkenalkan 14 model baharu/ dikemas kini dan ini termasuk G310 GS pada separuh kedua tahun 2017, serta varian R nineT – ‘Pure’, ‘Racer’ dan ‘Urban G/S’, dan R nineT yang diperbaharui. Juga akan terdapat model baharu R 1200 GS, S 1000 R, K1600 GT dan GTL. Bagi tahun 2017, BMW Motorrad mensasarkan jumlah jualan sebanyak 200,000 buah motosikal.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.