Pelbagai respon diberikan terhadap cadangan larangan terhadap motosikal kapcai untuk masuk ke pusat bandar Kuala Lumpur yang diutarakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini. Terbaharu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpendapat pihak berkuasa perlu mengkaji semula perkara berkenaan dengan mengambil kira faktor lain, menurut laporan Bernama.

PDRM menerusi Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Rusli Ahmad meminta kerajaan melihat semula cadangan tersebut, terutamanya apabila menyentuh keperluan pengguna motosikal daripada golongan berpendapatan rendah.

“Dari segi keselamatan, kita tidak menafikan larangan itu dapat mengurangkan jenayah ragut kerana kajian terdahulu mendapati ia kebanyakannya dilakukan pengguna motosikal kapcai,” katanya.

Rusli berpendapat larangan yang dicadangkan itu mungkin sesuai dilaksanakan hanya di tempat tertentu misalnya di kawasan sesak dengan orang ramai seperti di pasar malam dan di majlis keramaian kerana tempat-tempat itu boleh memberi peluang kepada penjenayah ragut yang menunggang kapcai.

“Pihak berkuasa mungkin boleh melarang motosikal kapcai ini daripada memasuki kawasan orang ramai pada waktu tertentu sahaja dan bukannya melarang kemasukkan motosikal itu di pusat bandar,” jelas Rusli.

Kenyataan Tengku Adnan sebelum ini menyebut motosikal berkuasa kecil atau ‘kapcai’ mungkin akan dilarang daripada memasuki ibu kota dalam usaha mengurangkan kadar pelepasan karbon dan jenayah ragut. Pihaknya melihat kaedah larangan ini sebagai usaha yang berbaloi memandangkan pengangkutan awam kini lebih banyak pilihan dan dengan harga yang berpatutan.

Perkara ini turut mendapat respon negatif dari Menteri Sumber Asli dan Tenaga, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dengan memberitahu bahawa motosikal bukanlah penyebab utama kepada pencemaran udara dan langkah halangan ini memerlukan kajian saintifik sebelum dilakukan.