Bagi mengembangkan perniagaannya di ASEAN, Fuji Heavy Industries (FHI), pengeluar kenderaan Subaru, telah mengumumkan rancangan untuk memperkukuhkan asas produksi di Thailand. FHI dijangka menandatangani perjanjian bersama TC Manufacturing and Assembly Thailand (TCMA TH), anak syarikat Tan Chong International Limited (TCIL) bulan hadapan.

Kerjasama menerusi penubuhan syarikat Tan Chong Subaru Automotive (Thailand) Co Ltd, ini akan menyaksikan pegangan saham majoriti sebanyak 74.9% bagi TCMA TA, manakala FHI pula hanya 25.1%. Ia mensasarkan produksi di Thailand akan bermula 2019 ini.

Subaru XV dan Forester yang dipasang di Malaysia untuk pasaran domestik dan eksport ASEAN

Buat masa ini, produksi bagi CKD pasaran ASEAN hanya di Malaysia, iaitu di kilang Tan Chong Motor Assembly di Segambut yang mengeluarkan model Subaru XV dan Forester, bagi pasaran domestik dan dieksport ke Thailand.

Walau bagaimana pun, FHI tidak menyatakan model manakah yang akan dibina di Thailand, namun mengesahkan “produksi di Malaysia akan diteruskan, dan TCIL akan menjual kenderaan yang diproduksi di Malaysia dan Thailand menerusi rangkaian pengedar Subaru.”