Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meminta bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menyenarai hitamkan sejumlah 1,400 pemilik kenderaan yang gagal menyelesaikan kompaun trafik tertunggak.

Menurut Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mphd Azizi Mohd Zain, langkah drastik ini adalah bagi mengambil tindakan terhadap individu yang enggan membayar saman atau kompaun trafik biarpun telah dikeluarkan surat peringatan dan amaran, laporan The Sun.

“Apabila disenarai hitamkan, mereka tidak boleh memperbaharui cukai jalan atau insurans kenderaan, melainkan telah menyelesaikan saman dan kompaun tertunggak itu, sama ada dari majlis penguatkuasaan tempatan atau polis,” ujar Mohd Azizi dalam taklimat mengenai laporan penguatkuasaan untuk 2016.

Statistik dari laporan tersebut menyebut, sebanyak 203,763 kompaun dikeluarkan pada tahun lalu, di bawah Perintah Pengangkutan Jalan (PPJ). Selain itu, sebanyak 308,985 kompaun pula dikeluarkan di bawah Bayar dan pamer (PND), sementara 4,382 kenderaan telah ditarik oleh majlis bandaraya serta 2,988 lagi telah dikunci tayarnya (clamp).

Menurut Mohd Azizi, tindakan penguatkuasaan tersebut diambil adalah sejajar dengan enakmen dan undang-undang berkaitan kesalahan yang dilakukan.