Jika anda mahu mengunjungi Singapura sempena cuti panjang hujung minggu ini iaitu menjelang sambutan Tahun Baharu Cina, sila rancang perjalanan pergi dan balik anda.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) menjangkakan penambahan aliran trafik akan berlaku di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands antara hari ini hingga Selasa minggu hadapan, laporan Bernama.

Menurut agensi terbabit, kira-kira 400,000 orang akan menggunakan dua pusat pemeriksaan itu sehari dan jumlah ini dijangka bertambah hingga 430,000 orang semasa waktu puncak.

Pastinya hal ini juga akan membabitkan pintu masuk negara menerusi Johor sama ada di Link Kedua atau pun Tambak Johor, di mana aliran trafik juga dijangka meningkat di kedua-dua laluan terbabit. Jadi, jangan lupa untuk merancang perjalanan anda sekiranya bercadang untuk memasuki Singapura pada cuti Tahun Baharu Cina ini.