Dalam barisan kenderaannya, Dodge mempunyai model Challenger SRT Hellcat, sebuah jentera sports yang dikuasakan oleh enjin HEMI V8 6.2 liter supercaj, mampu menghasilkan sehingga 707 hp dan 880 Nm. Itu sahaja sudah cukup menggerunkan, dan kini, Dodge mengeluarkan video teaser untuk sebuah lagi model yang lebih ganas, dinamakan Challenger SRT Demon.

Tidak banyak yang diberitahu berkenaan spesifikasi kenderaan ini namun antaranya, Dodge menyatakan Demon akan menjadi 90 kg lebih ringan berbanding Hellcat, dan beberapa pelarasan dibuat seperti pada roda, stereng, suspensi, brek, bahagian dalam dan komponen-komponen lain.

Demon dijangka muncul buat pertama kali di hadapan khalayak ramai semasa New York International Auto Show pada bulan April nanti, namun pernah dilihat dalam satu video yang dimuat naik oleh Vin Diesel, dalam set lakonan Fate of the Furious.

Dalam video teaser paling baru, Demon dilihat membuat burnout, dan meninggalkan kesan tayar yang lebar. Ini datang daripada tayar Nitto NT05R bersaiz 315/40 R18 yang dipadankan dengan rim 11 inci lebar di belakang. Badan Demon juga dilihat lebar dan cukup tegap.

Dodge mendakwa, Demon adalah kenderaan produksi pertama yang terus dari kilang dengan tayar drag, berserta logo Demon padanya. Dengan kuasa seperti ini, kelengkapan brek yang lebih baik juga boleh dijangka padanya.