Pernahkah anda tertanya jenama kereta apa yang paling banyak dicari dalam internet di serata dunia? Peta ini ada jawapannya. Ia dikeluarkan oleh penjual alat ganti kenderaan di United Kingdom, Quickco dan menunjukkan perkara tersebut.

Tapi, data ini masih ada kepincangannya. Ia didapati daripada Google, dan itu bukannya search engine utama bagi negara tertentu seperti China, Korea Selatan dan Rusia. Data ini juga agak ringkas, jadi, jenama kenderaan tempatan yang kecil seperti Perodua dan Proton tidak dimasukkan sekali – di Malaysia, Honda berada di tempat pertama.

Seperti yang ditunjukkan dalam peta tersebut, negara jiran kita berkongsi minat sama kepada Honda, kecuali untuk Singapura dan Filipina. Dua negara ini lebih banyak mencari berkenaan Toyota. China, Amerika Syarikat, Australia, kebanyakan tempat di Timur Tengah dan Afrika Utara juga mencatat perlakuan sama.

Walaupun begitu, apa yang sedikit melucukan adalah, sementara rakyat Amerika lebih banyak mencari berkenaan Toyota, orang Mexico pula mencari berkenaan jenama kenderaan Amerika iaitu Chevrolet. Jenama ini juga popular di Columbia, Chile dan Argentina.

Malah sebenarnya, kebanyakan jenama tidak banyak dicari dalam negara mereka sendiri. BMW paling banyak dicari dalam internet di Jepun dan Korea Selatan, manakala Hyundai pula di Rusia dan India.

Di seluruh Eropah, BMW menjadi jenama yang paling banyak dicari, termasuk di Jerman dan United Kingdom. Renault mencatat jumlah tertinggi di Perancis, Fiat di itali dan Volvo di Sweden. Peugeot berada di tangga pertama di Denmark manakala Mercedes-Benz pula adalah jenama yang paling banyak dicari di Finland.