Mercedes-AMG E63 Estate diperkenal – kuasa 612 hp

Mercedes-AMG E63 Estate diperkenal – kuasa 612 hp

Tidak lama selepas BMW memperkenalkan 5 Series Touring, Mercedes-Benz juga mengeluarkan senjata mereka, wagon yang dinamakan Mercedes-AMG E 63 4Matic+ Estate. Ini bukanlah sebuah wagon biasa, malah padat dengan 571 hp dan 750 Nm tork, datang daripada enjin V8 4.0 liter twin-turbo dan disampaikan kepada semua tayar melalui transmisi automatik AMG Performance 4Matic+, dengan pembahagian tork boleh ubah, menghasilkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.6 saat sahaja.

Jika itu tidak mencukupi, varian E 63 S turut disediakan dengan kuasa sebanyak 612 hp dan tork 850 Nm, menjadikan pecutan 0-100 km/j sepantas 3.5 saat. Huruf S tersebut juga datang dengan mod drift pada sistem transmisi 4Matic+ kenderaan ini, di mana hanya roda belakang sahaja yang akan berpusing.

Bagi memsatikan semua kuasa ini dapat disampaikan ke atas jalan dengan cekap, suspensi udara AMG multi-chamber digunakan, menampilkan gandar depan empat sambungan dengan wishbone, strut rod dan sambungan spring forged aluminium, serta kawalan roda dan bahagian suspensi berasingan untuk penyerap hentakan lateral dan pengemudian tork rendah. Gandar belakang juga direka semula sepenuhnya.

Mercedes-AMG E63 Estate diperkenal – kuasa 612 hp

Spring serta penyerap yang lebih sporty digunakan untuk kawalan lebih baik, dengan kekerasan spring tersebut boleh dilaras secara berasingan, bergantung kepada program pemanduan yang dipilih pada AMG Drive Select (Comfort, Sport, Sport Plus, Individual) dan status pemanduan semasa. Kadar spring ini juga boleh keras secara automatik sekiranya terdapat perubahan beban mendadak, mengambil selekoh dengan laju, pecutan mendadak atau brek secara mengejut.

Penyerapan boleh ubah secara terus ini juga bergantung pada sistem AMG Drive Select, dengan tahap lantunan dan mampatan boleh dilaras secara berasingan, memberikan ruang lebih luas antara kuasa penyerapan maksimum dan minimum. Ini membawa maksud beza di antara setiap mod adalah lebih jelas dan diperhalusi. Turut diperlengkapkan adalah stereng sports elektromekanikal dengan nisbah boleh ubah dan boleh bertindak terhadap kelajuan.

Pada bahagian belakang, E 63 dilengkapkan dengan limited-slip differential secara standard, manakala versi S ditambah dengan unit yang boleh dikawal secara elektronik untuk kawalan lebih proaktif dan lebih sensitiviti. Turut diberikan pada versi S adalah tapak enjin dinamik dan cakera brek hadapan lebih besar iaitu 390 mm (kereta standard hanya menggunakan cakera 360 mm). Cakera brek gentian seramik 402 mm untuk bahagian hadapan disediakan sebagai pilihan tambahan.

Mercedes-AMG E63 Estate diperkenal – kuasa 612 hp

Semua prestasi kenderaan ini diserlahkan pada bahagian luarannya, bermula dengan lengkuk roda hadapan selebar 27 mm, menyembunyikan jarak roda yang lebih lebar dan rim lebih besar. Bahagian hadapan E 63 adalah khas untuk modelnya sahaja, dengan adanya sisip bonet, gril dua bar dan salur udara yang mendapat inspirasi daripada sayap jet. Skirting tepi yang lebih dalam dan diffuser belakang yang lebih lebar bersama empat muncung ekzos menambah lagi ciri agresif kenderaan ini.

Di dalam pula, E 63 boleh dikenali dengan adanya roda stereng prestasi AMG yang dibalut kulit Nappa, bersama rekaan panel meter khas AMG dan tempat duduk sports. Tempat duduk AMG dengan penyandar kepala bersepadu disediakan sebagai pilihan tambahan. Model S dijadikan lebih eksklusif dengan papan pemuka juga dibalut kulit Nappa, tali pinggang keledar berwarna kelabu dan penanda tengah di roda stereng.

Pada bahagian belakang, terdapat ruang simpan sebesar 640 liter, dengan keseluruhannya 1,820 liter boleh didapati apabila tempat duduk belakang dilipat rata. Tempat duduk belakang jenis lipatan 40:20:40 ini juga boleh dijadikan 10 darjah lebih tegak, memberikan tambahan 30 liter lagi ruang, meskipun kesemua lima tempat duduk masih digunakan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required