Penyedia perkhidmatan perkongsian kenderaan atas talian, Grab, memutuskan untuk membuat perlaburan yang begitu besar bagi pasaran Indonesia dengan modal berjumlah USD$700 juta (RM3 bilion) untuk tempoh empat tahun akan datang. Indonesia merupakan pasaran Grab yang terbesar di Asia Tenggara, dengan perniagaan GrabCar dan GrabBike meningkat melebihi 600% pada tahun 2016.

Perlaburan ini diletakkan di bawah perancangan utama “Grab 4 Indonesia” 2020 turut menyaksikan perkembangan perkhidmatan ini di lebih banyak bandar, termasuk Jakarta, Bali, Bandung, Padang, Makassar, Medan, Surabaya dan Yogyakarta, laporan The Star.

Antara perancangan yang bakal dilaksanakan termasuklah membuka pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) Grab di Jakarta dan menambah baik sistem pembayaran dalam talian.

“Sebagai perkhidmatan perkongsian kenderaan dalam talian terbesar di Asia Tenggara, kami nekad dengan melaburkan sejumlah kos ini bagi memperkembangkan lagi perkhidmatan Grab di Indonesia. Malahan kami melihat potensinya di sana, selain dapat membantu membina serta memajukan infrastruktur digital dan ekosistem negara tersebut,” ujar Anthony Tan selaku pengasas dan CEO Kumpulan Grab.

Katanya lagi, Grab mensasar untuk melantik lebih 150 jurutera dalam tempoh dua tahun akan datang untuk pusat R&D tersebut. Di sana, ia akan memfokuskan pembangunan inovasi termasuk algoritma menangani peraturan-peraturan jalan baharu di Jakarta dan GrabHitch (Nebeng), mempertingkatkan perkhidmatan perkongsian motosikal dan sebagainya.

Selain itu, syarikat ini juga mahu mempertingkatkan akses untuk pembayaran dalam talian serta tunai, termasuk terus bekerjasama dengan Mandiri.

Buat setakat ini, Grab telah menjana lebih US$260 juta untuk rakan pemandunya di Indonesia.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2012, Grab telah memiliki lebih 630,000 pemandu dan 33 juta muat turun di rantau Asia Tenggara.