Sewaktu pelancaran model facelift Peugeot 208 dan 2008 sebulan yang lalu, Nasim telah mengesahkan model 208 GTi bakal kembali ke Malaysia.

Menurut pengurus besar kanan Nasim, Yasser Awam, hot-hatch tiga-pintu dengan kuasa 200 hp ini merupakan antara model paling berjaya untuk syarikat, malah menjadi idaman para penggemarnya. Malahan harganya juga dikatakan berpatutan, iaitu sewaktu dilancarkan pada hujung 2013 dengan harga RM140k.

Bagi model facelift 208 GTi ini, rekaan gril dan bampar hadapan sama seperti model standard, namun disertakan dengan lampu belakang LED baharu dengan lampu arah “lion claw”. Manakala lampu utama spesifik-GTi (dengan indikator LED bentuk-C) dan roda aloi dwi-tona “Carbone” 17-inci dikekalkan, sementara kekemasan merah pada gril pula kini didatangkan dalam jaluran ringkas terletak di bahagian bawah gril.

Di dalamnya, kekemasan dekorasi merah telah digantikan dengan elemen hitam berkilat, dengan pemegang pintunya menerima jaluran merah yang sama dengan model 30th Anniversary Edition (kini dipanggil 208 GTi oleh Peugeot Sport tetapi tidak akan dipasarkan di sini).

208 GTi facelift ini masih mengekalkan enjin 1.6 liter THP turbo empat-silinder, tetapi telah ditambahkan dengan jumlah kuasa serta torknya, 8 hp dan 25 Nm menjadi 208 hp dan 300 Nm, iaitu sama output dengan 30th Anniversary Edition. Begitu juga dengan transmisi manual enam-kelajuan masih dikekalkan.

Memandangkan buat masa ini ringgit agak lemah dalam pertukaran mata wang asing, adalah satu pencapaian jika Nasim berjaya mengekalkan harganya di sekitar RM140k. Dengan foto spyshot ini, tidak kelihatan bumbung berkaca panoramik yang menjadi standard bagi kereta pre-facelift tempatan.

GALERI: Peugeot 208 GTi facelift