VIDEO: Penukaran inflator beg udara kenderaan Honda – lihat bahagian yang boleh mengancam nyawa anda

Panggilan semula berkenaan beg udara Takata kenderaan Honda sudah menjadi berita yang luas tersebar, tetapi tahukah anda bagaimana proses yang perlu dilalui? Honda Malaysia telah mengeluarkan video ini, dipadatkan dengan segala perjalanan dari pemeriksaan nombor VIN kenderaan secara atas talian, hinggalah bagaimana proses penukaran dilakukan.

Penukaran inflator beg udara ini sebenarnya adalah satu proses yang ringkas dan tidak mengambil masa yang lama – 20 minit untuk bahagian pemandu dan sehingga 45 minit untuk bahagian penumpang yang memerlukan proses lebih rumit. Kenderaan anda pada mulanya akan melalui proses pemeriksaan, dan apabila sudah ditukar, dipasang dengan pelekat sebagai tanda ia telah dilaksanakan.

Panggilan semula ini dijalankan di seluruh dunia, dan jumlahnya agak besar. Walaupun begitu, Honda Malaysia berjaya memastikan stok alat yang perlu diganti sentiasa ada dan sehingga penghujung tahun 2016, ia cukup 100 peratus bagi inflator bahagian pemandu dan 70 peratus bagi bahagian penumpang.

Semasa penukaran, Honda memberitahu kenderaan anda akan dikendali oleh juruteknik yang berpengalaman dan perhatian penuh akan diberi untuk mengelakkan sebarang kerosakan. Seperti juga kenderaan yang dihantar untuk servis, bahagian tempat duduk dan stereng akan ditutup dengan kain khas untuk menjaga kebersihan.

Ini adalah perkara yang menjadi kerisauan bagi sesetengah pemilik dan menyebabkan mereka bertangguh untuk menghantar kereta, meskipun sudah diberitahu. Sebenarnya, tiada sebab untuk mereka berbuat begitu, dan proses penukaran ringkas ini, jika tidak dilakukan, boleh menyebabkan musibah teruk termasuk kecederaan dan kematian.

Honda Malaysia telah melaksanakan pelbagai langkah proaktif – mengeluarkan 240,000 surat, 35,000 emel, 2,000 panggilan telefon dan 126,000 SMS, dan itu hanyalah sehingga bulan Julai 2016 sahaja. Selepas itu, mereka menambah lagi usaha dengan meletakkan risalah informasi (flyer) pada kenderaan yang diletakkan di kawasan awam, dan menghantar pekerja pergi terus berjumpa dengan pemilik. Syarikat ini juga bekerjasama dengan JPJ untuk mendekati pemilik kenderaan yang terlibat dalam panggilan semula ini.

Sebagai imbasan kembali, Honda Malaysia telah mengeluarkan beberapa panggilan semula: pada bulan Mei, Jun dan Julai 2015, dan sekali lagi pada bulan Mei dan Jun 2016. Sehingga akhir tahun 2016, jumlah kenderaan yang dipanggil balik untuk masalah inflator beg udara bahagian pemandu adalah 264,000 unit manakala 273,000 unit lagi untuk inflator beg udara bahagian penumpang.

VIDEO: Penukaran inflator beg udara kenderaan Honda – lihat bahagian yang boleh mengancam nyawa anda

Satu lagi kumpulan kenderaan dipanggil balik awal bulan ini, dan ia termasuk model Honda Accord (2003-2012), City (2003-2013), Civic (2001-2011), Civic Hybrid (2003, 2007-2012), CR-V (2002-2011, 2013), Freed (2009-2012), Insight (2011-2013), Jazz (2003-2007, 2009-2013), Jazz Hybrid (2012-2013), Odyssey (2004-2008) dan Stream (2003-2005, 2007-2013).

Untuk mengawal panggilan semula berskala besar ini, Honda Malaysia memperkenalkan beberapa langkah khas. Semua pusat servis berdaftar di dalam negara diarahkan untuk menggunakan 50 peratus sumber dan kapasiti mereka untuk kerja penukaran inflator beg udara ini. Syarikat ini juga membuka hab servis untuk mengurangkan beban pengendali pusat servis dan memberikan lebih kesenangan kepada pemilik kenderaan. Jika pemilik benar-benar tidak dapat menghantar kenderaan ke pusat servis atau hab yang disediakan, penukaran di tempat mereka boleh diuruskan.

Jika belum, bertindaklah sekarang dan mulakan dengan memeriksa status kenderaan anda di www.productrecall.honda.com.my, telefon nombor percuma tol 1-800-88-2020 atau pergi terus ke pengedar/ pusat servis rasmi Honda di seluruh negara. Jika anda tahu sesiapa lagi yang memiliki kenderaan yang terlibat dalam panggilan semula ini, beritahu mereka supaya lakukannya dengan cepat. Bahayanya memang boleh dilihat, dan kematian sudah berlaku disebabkan ini di dalam negara kita sendiri.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required