Setelah diarah untuk menghentikan operasinya serta merta dan diberi amaran supaya jangan mencabar undang-undang, kini Kementerian Pengangkutan menerusi menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan oleh Bernama meminta syarikat perkhidmatan teksi motosikal Dego Ride agar tampil untuk berbincang.

Menurut Liow, kementeriannya memberi tempoh selama tujuh hari kepada Dego Ride untuk tampil berbincang. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan Kementerian Pengangkutan tetap dengan keputusan mengharamkan perkhidmatan itu berikutan isu keselamatan penumpang.

“Tiada keraguan dalam larangan Dego Ride. Ia adalah sangat jelas. Kerajaan dan kementerian telah membuat keputusan untuk mengharamkan perkhidmatan ini memandangkan ia berbahaya kepada keselamatan penumpang,” jelasnya dan memaklumkan kementeriannya telah mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memanggil syarikat itu untuk tampil memberi penjelasan.

Kenyataan Liow ini dibuat ketika ditanya mengenai permintaan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj, supaya diberi peluang untuk membahaskan isu perkhidmatan teksi motosikal itu yang dilaksanakan sejak November tahun lepas.

Dalam laporan sebelum ini, Liow mengatakan perkhidmatan Dego Ride menyalahi Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 serta Seksyen 16 dan 47 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan pengusaha syarikat tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah. Tambahnya, walaupun penggunaan motosikal mampu mengelak kesesakan lalu lintas namun ia juga membawa kemudaratan kerana berdasarkan statistik, penunggang motosikal menyumbang kira-kira 62 peratus kepada kemalangan maut pada tahun lepas.