Polis Sepanyol telah membuat serbuan keatas sebuah bengkel yang menghasilkan ‘kit cars’ atau ‘kereta replika’ yang didakwa sebagai ‘supercar palsu’. Semasa diserbu, bengkel yang terletak di Girona, selatan Sepanyol berkenaan didapati memilki empat Ferrari palsu yang telah lengkap manakala 14 unit Ferrari dan Lamborghini palsu sedang dalam pembinaan.

Kereta-kereta replika ini dihasilkan oleh kumpulan berkenaan menggunakan asas Toyota MR2, serta kereta lain seperti Ford Cougar serta Peugeot 406, dan dijual secara dalam talian di internet. Antara kereta yang ditemui dalam bengkel berkenaan adalah Ferrari F355 dan F430, dikuasakan enjin 2 liter hingga 2.5 liter, dengan badan yang dihasilkan menggunakan gentian kaca (fiberglass).

Polis mula mengambil perhatian terhadap kumpulan ini setelah salah sebuah kereta yang dihasilkan dijual menerusi berberapa laman sesawang dengan harga sekitar £35,000 (RM195k). Selain dari menggunakan logo Ferrari dan Lamborghini palsu, kumpulan ini turut menyediakan dokumen pendaftaran palsu – dan ini mungkin sebab utama mereka diserbu polis.

Kit Car dan kereta replika sebenarnya merupakan perkara biasa diperingkat antarabangsa. Selain dari Ferrari dan Lamborghini, Shelby Cobra dan Ford GT40 antara kereta yang popular dihasilkan sebagai kereta replika. Malah Hollywood juga banyak menggunakan kereta-kereta replika ini antaranya Ferrari 308 GTS yang digunakan dalam siri TV Magnum PI, serta hampir kesemua supercar yang digunakan dalam filem Need For Speed.

Kita di Malaysia juga sebenarnya mempunyai pembina-pembina kereta replika ini. Antara yang terkenal adalah rekaan dari Balbussi Hanafi dari Batu Pahat, Johor, yang gemar menghasilkan Porsche dan Ferrari replika menggunakan asas Mazda RX7 SA22.