Dego Ride bakal mohon operasinya dapat kelulusan kerajaan bagi bantu golongan B40 tambah pendapatan

Dego Ride bakal mohon operasinya dapat kelulusan kerajaan bagi bantu golongan B40 tambah pendapatan

Pengasas dan ketua pegawai eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bulan hadapan untuk memohon kelulusan bagi perkhidmatan ‘teksi motosikal’ mereka selepas operasi syarikat tersebut diarahkan untuk dihentikan serta merta baru-baru ini, lapor Bernama.

Menurut Nabil, cadangan berkenaan termasuk berkaitan tujuan syarikat itu memperkenalkan perkhidmatan Dego Ride iaitu bagi membantu kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), yang menurutnya adalah sejajar dengan rancangan kerajaan.

“Idea ini bertumpu kepada kumpulan B40, yang memiliki motosikal sebagai pelaburan pertama mereka dan di situlah hadirnya Dego Ride, untuk memberi peluang kepada mereka memperoleh atau menjana pendapatan secara sendiri,” katanya ketika dihubungi agensi berita tersebut.

Nabil juga berharap kerajaan akan memberikan kelulusan kepada Dego Ride melalui cadangan tersebut dan mempersoalkan mengapa Malaysia tidak boleh mengamalkan sistem sedemikian sedangkan Indonesia, Thailand dan malah Sepanyol telah melaksanakan operasi yang serupa.

Nabil juga menjelaskan, Dego Ride yang dilancarkan pada November tahun lepas setakat ini mempunyai kira-kira 6,000 penunggang yang berkhidmat dengan mereka. Dego juga mengenakan tapisan ketat terhadap penunggangnya bagi memastikan mereka tidak pernah melakukan kesalahan jenayah dan lalu lintas serta mendakwa mereka sebagai “perkhidmatan pengangkutan paling murah” dengan menawarkan caj RM2.50 bagi tiga kilometer pertama.

Sebagai respon kepada arahan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk menghentikan operasinya, Nabil turut meminta kesemua penunggangnya supaya menghentikan operasi mereka dengan serta-merta.

Liow turut memberikan respon kepada permintaan Nabil dan mengajak Dego Ride tampil dalam tempoh tujuh hari untuk berbincang dengan kementeriannya, namun menegaskan Kementerian Pengangkutan tetap dengan keputusan mengharamkan perkhidmatan itu berikutan isu keselamatan penumpang dan menyalahi Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 serta Seksyen 16 dan 47 Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required