Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengenal pasti 20 syarikat pengusaha bas yang bermasalah dan bakal diberikan amaran, lapor Sinar Harian.

Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Jabatan Penguat Kuasa Spad, Datuk Che Hasni Che Ahmad dan menjelaskan usaha berkenaan diambil bagi memastikan pencegahan kesalahan jalan raya berulang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Kesemua syarikat tersebut dikenal pasti melalui rekod yang diberikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seperti statistik kesalahan had laju dan menggunakan telefon bimbit.

“Selain pengusaha syarikat terlibat dipanggil untuk nasihat dan amaran, SPAD juga melakukan operasi penyamaran menjadi penumpang dengan menaiki bas-bas yang dikenal pasti itu,” katanya pada operasi bersepadu Spad di Plaza Tol Skudai Arah Selatan tempoh hari.

Operasi bersepadu bermula jam 2 petang itu turut dijalankan bersama PLUS, JPJ, PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Dalam operasi itu, sebanyak dua kes hasil daripada operasi penyamaran dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 masing-masing atas kesalahan memandu melebihi had laju dan menggunakan telefon bimbit.