Sebelum ini, Honda pernah mempamerkan sebuah kenderaan konsep yang nampak seperti separuh kereta dan separuh motosikal, dinamakan Project 2&4 Concept. Ramai yang menyangka kenderaan ini tidak mungkin akan memasuki fasa produksi, tetapi baru-baru ini, Honda telah mendaftarkan paten untuk kenderaan sports enjin di tengah, dan kelihatan seperti kenderaan itu.

Walaupun mempunyai dua tempat duduk (kenderaan konsep Project 2&4 hanya ada satu tempat duduk), lukisan paten itu tetap menggambarkan sebuah kenderaan yang kelihatan seperti go kart yang besar. Menurut Autoblog, paten ini adalah untuk sebuah kenderaan dengan casis cast aluminium backbone, dan dikatakan sangat ringan, kuat dan boleh dikeluarkan secara pantas. Enjin pula terletak di belakang tempat duduk dan memacu gandar belakang.

Semua bahagian lain yang menjadikannya sebuah kereta seperti tempat duduk, roda stereng, pedal dan panel meter semuanya terletak di tengah casis, dan ia boleh dihasilkan bagi konfigurasi pemanduan sebelah kanan, kiri atau satu tempat duduk sahaja. Laporan yang dikeluarkan juga menyatakan kesediaan kenderaan ini untuk dilengkapi dengan pelindung sekiranya terbalik, seperti yang ditunjukkan pada bahagian 110a, 110b dan 110c rajah 2.

Kerangka terdedah yang membahagikan kabin kenderaan ini adalah berbentuk petak, dan ia boleh digunakan untuk meletakkan tangki minyak. Untuk menggerakkan kenderaan ini, paten tersebut menunjukkan bahawa selain enjin jenis pembakaran, ia juga boleh menggunakan motor elektrik, dan tempat meletak tangki minyak tadi boleh diganti sebagai tempat bateri.

Suspensi yang digunakan adalah jenis double wishbone, tetapi paten tersebut membiarkan bahagian itu terbuka untuk jenis yang lain. Perkara sama juga dilakukan bagi tayar, di mana dalam rajah ini ia menggunakan empat tayar, tetapi rangka itu juga boleh menggunakan hanya tiga tayar.

Project 2&4 Concept mempunyai berat hanya 405 kg, berukuran 3,040 mm dan datang dengan enjin V4 999 cc daripada motosikal MotoGP RC213V. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 215 PS pada 13,000 rpm dan menggunakan transmisi enam kelajuan klac berkembar.