Pengeluar jentera mewah, Lamborghini, memanggil balik semua kereta sport keluarannya bagi model Veneno, termasuk tiga coupe dan sembilan roadsters, bersama 5,900 unit Aventadors disebabkan masalah kebocoran bahan api ke dalam sistem ekzos yang boleh mencetuskan kebakaran.

Notis ini dikeluarkan oleh Pentadbiran Keselamatan Lebuhraya Trafik Kebangsaan Amerika Syarikat (NHTSA) baru-baru ini, dan menurut laporan yang disiarkan oleh Bloomberg, isi ini berpunya dari saluran kawalan emisi, yang mungkin boleh rosak dan tidak dapat merawat wap bahan api dengan betul. Maka ini meningkatkan risiko wap berkenaan masuk ke komponen-komponen tertentu dalam sistem ekzos semasa enjin sedang berjalan, yang mampu membawa risiko kebakaran.

Ia membabitkan semya Aventador dan Veneno yang dihasilkan dari 22 Mei 2011 hingga 5 Disember 2016. Walau bagaimana pun model Aventador S dan edisi terhad Aventador SV tidak terbabit dengan panggilan balik ini.

Setakat ini, Lamborghini tidak mengesahkan ada insiden berlaku disebabkan isu ini, namun menggesa semua pemilik jentera terbabit menghantar semula kenderaan masing-masing ke pusat servis bertauliah untuk tindakan segera.

Veneno adlaah model produksi terhad berasaskan Aventador, dan dipadankan dengan enjin 6.5 liter V12 yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 750 PS dan tork 690 Nm. Ketika pertama kali diperkenalkan, Veneno coupe dijual pada harga 3,120,000 euro (RM14,813,760), sementara roadster pula 3,300,000 euro (RM15,651,570).