Suzuki telah mengeluarkan satu notis panggilan semula rasmi terhadap model kei-roadster Cappucino keluaran tahun 1996 menerusi Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Jepun, yang hanya melibatkan sebuah kenderaan, menurut laporan Jalopnik.

Apa yang lebih menarik, pemilik unit Cappucino yang telah berusia 21 tahun berkenaan bakal menerima sebuah enjin baharu yang bakal digantikan, tanpa sebarang caj.

Enjin tersebut perlu diganti hanya kerana pihak Suzuki baru menyedari bahawa blok enjin berkenaan tidak dicapkan dengan nombor pengenalan “K6A” sewaktu proses produksi, yang mungkin akan menyukarkan pemilik menerima sijil pemeriksaan sekiranya dibawa ke pusat pemeriksaan negara berkenaan.

Walaupun dilihat agak melecehkan, pemilik Cappucino berkenaan sebenarnya agak bertuah kerana keretanya yang kini berusia 21 tahun bakal menerima enjin baharu secara percuma. Suzuki juga tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan sebuah enjin baharu kerana enjin tersebut masih lagi diproduksi untuk digunakan pada model Jimny dan juga membekalkannya kepada Caterham untuk model Caterham 7.

Cappucino merupakan salah satu model unik yang dihasilkan oleh Suzuki kerana ianya merupakan roadster sebenar dengan enjin depan pacuan belakang (FR) tetapi dibina berdasarkan undang-undang Kei-car Jepun. Roadster comel yang hanya mempunyai berat 725 kg ini dijana oleh enjin tiga silinder DOHC turbo 657 cc, menghasilkan 63 hp.