Jual Proton kepada pihak luar akan akibatkan banyak pekerjaan hilang, vendor tutup kedai – Tun M

Jual Proton kepada pihak luar akan akibatkan banyak pekerjaan hilang, vendor tutup kedai – Tun M

Semua orang mempunyai pandangan tersendiri terhadap Proton. Sebagai pengeluar kereta nasional, Proton merupakan kepentingan bersama diperingkat kebangsaan. Untuk itu, setiap dasar yang ditentukan oleh kerajaan akan memberi kesan kepada ramai orang juga. Geran dan pinjaman yang diterima daripada kerajaan juga sudah tentu daripada wang hasil dari pembayar cukai.

Pasaran automotif Malaysia tidak pernah terlalu terbuka. Proton bersaingan tidak hanya dengan pendahulu pasaran, Perodua tetapi turut dengan model-model dari pengeluar lain. Tanpa skala ekonomi yang luas diperingkat global, memang sukar untuk mana-mana jenama untuk kekal berdaya saing secara cekap. Di Malaysia sahaja pun, Proton sudah lama tidak lagi menjadi satu-satunya jenama yang dekat dengan rakyat Malaysia – Perodua, dengan sokongan Daihatsu, menjadi antara faktor.

Situasi tidak menyebelahi Proton kini. Pada 2016, syarikat milik DRB-Hicom itu hanya menjual sejumlah 72,290 unit kenderaan sahaja (jatuh 29.2% berbanding 2015). Jualan 70,000 unit kenderaan tidak mencukupi untuk mengekalkan syarikat dalam keadaan yang “sihat”, membawa kepada pemberian pinjaman RM1.5 bilion tahun lalu untuk membolehkan Proton menjelaskan hutangnya. Pinjaman itu datang dengan satu syarat; Proton perlu mencari rakan strategik asing.

Jual Proton kepada pihak luar akan akibatkan banyak pekerjaan hilang, vendor tutup kedai – Tun M

Terakhir, dua pihak dikatakan sangat berminat untuk menjadi rakan strategik asing itu – PSA Group dari Perancis (pengeluar Peugeot dan Citroen) dan Geely dari China, yang kini merupakan pemilik Volvo. Menurut DRB-Hicom, keputusan berkaitan rakan strategik Proton itu akan diumumkan pada separuh pertama tahun 2017. Namun, itu tidak dapat menghindarkan spekulasi yang bertiup hampir setiap hari berkaitan hal ini – baik dari media dan juga pegawai kerajaan.

Ada dua perbincangan utama yang lahir daripada situasi ini. Paling mudah dijangka ialah sama ada Proton patut dijual kepada pihak asing. Perlu diingat, tiada pihak berminat yang inginkan pertukaran teknologi dan dana hanya dengan jumlah pegangan yang rendah dalam syarikat itu.

Untuk lebih mudah difahami; disatu pihak ingin mempertahankan “maruah nasional” sementara di pihak lain adalah mereka yang inginkan pengakhiran kepada perlindungan yang sangat mahal terhadap Proton. Kata mereka, apa yang boleh dibanggakan, misalnya jika dibandingkan pencapaian Proton dengan Hyundai?

Jual Proton kepada pihak luar akan akibatkan banyak pekerjaan hilang, vendor tutup kedai – Tun M

Antara perbincangan lain yang turut mengambil tempat ialah, jika Proton akan dijual, adakah ia patut berbuat demikian kepada syarikat Perancis atau China? Walaupun pemilikan Geely terhadap Volvo memberikan kesan positif (dengan sokongan kewangan yang kukuh serta rekaan dan R&D Sweden), serta pemilikan India terhadap jenama Jaguar Land Rover juga telah membolehkan jenama itu meningkatkan jualan yang belum pernah dicapai sebelum ini, Proton adalah kisah yang lain.

Bagi kebanyakan kita di sini, Proton melambangkan kebanggaan nasional, dan untuk itu, hal seperti ini kerap dilihat dari sudut pandang yang tidak objektif. Dalam situasi sekarang, negara asal Geely menjadi antara kerisauan utama.

Tetapi, apa yang difikirkan oleh pengasas Proton terhadap situasi syarikat itu sekarang? Tun Mahathir Mohamad menyatakan pandangannya dilaman blog beliau, seperti yang disertakan di sini. Tidak mengejutkan kerana beliau menentang pemilikan asing terhadap Proton. Berikut pandangannya:

1. Saya sangat sedih kerana Proton akan dijual kepada syarikat asing. Mempunyai rakan strategik ok. Tetapi sebaik sahaja Proton dijual kepada orang luar, ia tidak lagi akan menjadi kereta kebangsaan. Ia hanya akan menjadi pengeluar kenderaan asing di Malaysia. Itu yang sudah kita lakukan sejak 1970an.

2. Proton mungkin tidak menguntungkan buat masa ini. Tetapi ia sangat menguntungkan dahulu. Mungkin sebab ia dilindungi. Tetapi selepas perlindungan itu ditamatkan, ia tetap mencatatkan untung. Semua negara melindungi industri automotifnya. Ia mungkin bukan melalui duti import yang tinggi. Tetapi ada banyak cara lain untuk menghalang kenderaan import mencabar kenderaan keluaran tempatan. Cara-cara lain ini sebenarnya lebih berkesan dan tidak melibatkan keluaran asing sepenuhnya. Ini antara sebab mengapa Proton sukar dieksport ke negara-negara berkenaan. Kita sangat bermurah hati. Sesiapa saja boleh mengeksport kereta mereka ke negara ini. Kereta dengan kualiti yang lebih rendah juga boleh dibawa masuk.

3. Saya tidak lagi di dalam Proton sekarang. Sejak itu saya tidak dibenarkan walaupun untuk berjumpa dan bercakap atau menelefon staf Proton.

4. Itu tak menjadi masalah.

5. Ketakutan saya ialah jika kita tidak lagi memiliki Proton, industri automotif Malaysia akan rugi besar.

6. Vendor dan pembekal akan tutup kedai. Ramai pekerja akan hilang pekerjaan mereka. Dan keupayaan serta kapasiti kejuruteraan Malaysia akan dikurangkan. Ia tidak akan menjadi negara maju pada 2020 atau selepas itu. Malaysia akan kekal menjadi negara dunia ketiga.

7. Suatu masa dulu, Malaysia digelar sebagai Harimau Asia. Hari ini Malaysia bahkan bukan seekor kucing. Kita telah menjadi satu daripada 10 negara paling korup di dunia.

Syabas! Najib.

Apa pula pandangan anda? Tinggalkan aspek politik ditepi, adakah langkah yang akan diambil untuk Proton selepas ini akan memberi manfaat kepada kita atau sebaliknya?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required