Semasa melakukan lawatan tapak projek jejambat Jalan Bukit Ubi, Kuantan, menteri kerja raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu bahawa kementeriannya sedang menguji satu sistem baru bernama ‘weigh-in-motion‘ (WIM) yang bertujuan mengesan kenderaan lebih muatan, seterusnya menghindarkan mereka daripada meneruskan perjalanan.

Beza antara WIM ini dan stesen timbang berat yang digunakan sekarang adalah ia dapat mengesan berat sesuatu kenderaan meskipun waktu sedang bergerak, seterusnya tidak akan memberi kesan kepada lalu lintas dan pergerakan kenderaan lain.

Menurut Fadillah lagi, langkah menghalang kenderaan lebih muatan ini adalah penting bagi melindungi infrastruktur yang telah dibina dan mengelakkan sebarang bencana berlaku. Paling dirisaukan adalah jejambat dan struktur yang sudah wujud untuk tempoh yang lama.

“Untuk sistem ini, kami bekerja sama dengan pelbagai agensi termasuk kementerian pengangkutan (MOT) dan ia akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Selain itu, kami juga akan mencadangkan penggunaan sistem ini kepada syarikat konsesi lebuh raya,” tambah Fadillah.

WIM sudah banyak digunakan di negara lain termasuk Eropah dan Amerika Syarikat, dan ia bukan setakat untuk jalan raya biasa, malah juga digunakan untuk keretapi dan juga kapal terbang.