Menyedari hakikat filem penapis haba kenderaan kini telah menjadi keperluan untuk mengurangkan kepanasan ketika memandu dan bukan hanya sebagai aksesori biasa, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui Jabatan Standard Malaysia sudah meluluskan Standard Malaysia (MS) baharu berkaitan filem penapis haba, menurut laporan Harian Metro.

Menterinya Datuk Seri Madius Tangau berkata, MS berkaitan filem penapis haba tersebut telah diluluskan bersama sembilan MS lain bagi memberi panduan kepada pihak industri dan orang awam berkenaan spesifikasi yang menepati spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Menerusi standard ini, orang ramai akan lebih mudah memahami spesifikasi yang ditetapkan JPJ dan mengurangkan kekeliruan antara penjual filem berkenaan dengan pemilik kenderaan,” ujarnya dan menambah ia akan turut memberi panduan kepada individu yang membawa masuk kenderaan import ke dalam negara khususnya bagi kenderaan yang menggunakan cermin gelap.

Menurut Madius lagi, MS itu menyokong Kaedah 5(1) dan Kaedah 5(3), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) Pindaan 2000 di bawah JPJ untuk membantu mengawal selia dan mentadbir piawaian keselamatan kenderaan bermotor dengan cekap serta berintegriti. MS baharu ini juga bagi memenuhi keperluan pengguna, alam sekitar serta industri automotif negara, tambahnya lagi.