Mazda CX-9 baharu yang dipertontonkan pada November lalu, pada mulanya dijangka bakal dilancarkan di pasaran pada Jun ini. Namun begitu, disebabkan banyak permintaan, Bermaz kini menawarkan SUV tujuh-tempat duduk ini dijual, dalam unit yang terhad dan mengikut spesifikasi Australia.

Walau bagaumana pun, harganya tidak begitu murah, ia ditawarkan pada RM316,788 untuk model pacuan dua-roda dan RM323,849 untuk pacuan-semua roda, semuanya adalah harga atas jalan termasuk insurans, waranti baharu lima-tahun/100,000 km dan pakej servis percuma tiga-tahun. Sebagai perbandingan, model generasi sebelumnya dijual pada harga RM296,646 untuk model pacuan dua-roda dan RM337,748 bagi pacuan semua-roda.

Ia ditawarkan dengan varian GT dan yang tertinggi, Azami. Kit standard ditampilkan dengan lampu utama bi-LED (dengan lampu nyalaan siang halogen), lampu kabus LED, lampu belakang LED, bumbung matahari berkuasa dan rim aloi 20-inci.

Lain-lain elemen termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu dan bilah pengelap cermin auto, kawalan kelajuan, kawalan suhu auto tiga-zon, balutan kulit upholstery, tempat duduk pemandu berkuasa dengan tatapan memori, paparan unit utama berwarna-sepenuhnya, cermin pandang belakang auto-penggelam, tirai cermin sisi, pintu tailgate berkuasa, sistem infotainment MZD Connect dengan skrin sesentuh lapan-inci, navigasi, kamera undur dan sistem bunyi Bose 12-pembesar suara.

Bagi elemen keselamatan pula, CX-9 dilengkapi dengan enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, Trailer Stability Assist (TSA) dan dua cagak ISOFIX. Malah ia juga didatangkan dengan bantuan pemandu i-ActivSense, termasuk Sokongan Brek Bandar Pintar (SCBS) hadapan dan belakang, Pemantauan Titik Buta(BSM) dan Bantuan Trafik Lintasan Belakang (RCTA).

CX-9 ini dijanakan oleh enjin petrol 2.5 liter SkyActiv-G dengan i-stop automatic start/stop dan i-ELOOP, yang mampu menghasilkan kuasa 228 hp pada 5,000 rpm dan tork 420 Nm pada 2,000 rpm. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Penggunaan bahan apinya sekitar 8.4 liter untuk setiap 100 km bagi model pacuan dua-roda dan 8.8L/100 km untuk pacuan semua-roda.