Baru-baru ini, terdapat kekeliruan mengenai fakta berhubung pelekat pemantul cahaya untuk kenderaan perdagangan berat dengan BDM 3,500kg ke atas yang semakin tular di media. Di mana ramai pengusaha syarikat logistik dan pemilik lori mendakwa bekalan pelekat tersebut sukar diperolehi dan hanya boleh didapati di kaunter sebuah agensi sahaja.

Sehubungan itu, Puspakom telah mengeluarkan kenyataan media bagi menjelaskan keadaan yang sebenar, sekaligus mengelakkan kekeliruan ini bertambah sulit.

Menganggap isu ini telah menyebabkan imej Puspakom tercalar, agensi terbabit ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak terperdaya dengan pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mempengaruhi harga pelekat pemantul cahaya dan cuba memutarbelitkan fakta mengenai pemasangan dan penjualan pelekat pemantul cahaya ini.

“Puspakom ingin menegaskan di sini bahawa, pihak kami tidak menjual pelekat pemantul cahaya tetapi hanya menyediakan ruang di beberapa pusat pemeriksaan Puspakom untuk aksesori ini dijual kepada pelanggan kami. Dua pengeluar, iaitu 3M Malaysia dan Orafol Reflective Solutions telah diberikan ruang tersebut, kerana pelekat pemantul cahaya mereka menepati standard SIRIM MS 828:2011. Ruang ini diberikan kepada mereka demi kemudahan pelanggan Puspakom,” ujar kenyataan terbabit.

Puspakom turut menambah pihaknya tidak pernah mengiktiraf mana-mana pengeluar pemantul cahaya kerana ia adalah di luar bidang kuasa mereka. Di mana Pengiktirafan ini diberi oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada bulan Oktober 2016, atas dasar produk mereka menepati pensijilan MS 828:2011 daripada SIRIM.

Bagi pengusaha syarikat logistik dan pemilik lori yang ingin membeli pelekat keluaran sama ada 3M Malaysia atau Orafol Reflective Solutions, ia boleh dibeli di mana-mana pengedar mereka. Walau bagaimana pun, kaunter-kaunter jualan pelekat pemantul cahaya dua pengeluar tersebut turut ditempatkan di Puspakom sebagai inisiatif untuk memudahkan orang ramai mendapatkannya.

Dalam masa yang sama, Puspakom turut menegaskan 3M Malaysia dan Orafol Reflective Solutions menetapkan harga jualan pelekat pemantul cahaya mereka. Justeru, Puspakom tidak terlibat dalam penentuan harga, cara promosi atau taktik pemasaran mereka dan tidak mengambil komisen ataupun margin daripada penjualan produk tersebut.

Menurut Puspakom lagi, pihaknya hanya mempunyai mandat memeriksa pelekat pemantul cahaya yang dipasang pada kenderaan komersil, berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh JPJ. Garis panduan piawaian reflektor boleh didapati di laman web Puspakom di www.puspakom.com.my.

Mulai 1 Januari lalu, semua kenderaan perdagangan berat dengan BDM 3,500kg ke atas telah diwajibkan untuk memasang pelekat pemantul cahaya (reflektor) yang mempunyai standard SIRIM MS 828:2011 oleh Kementerian Pengangkutan. Di mana kenderaan terbabit diwajibkan memasang reflektor yang perlu dilekatkan pada side marking kiri dan kanan, serta di belakang kenderaan. Manakala untuk van dan bas pula, reflektor tersebut hanya perlu dipasang di bahagian belakang kenderaan sahaja.