Brabus Ultimate 125 – kereta kecil berharga lebih RM230k, dengan enjin 898 cc berkuasa 125 hp/200 Nm

Brabus Ultimate 125 – kereta kecil berharga lebih RM230k, dengan enjin 898 cc berkuasa 125 hp/200 Nm

Untuk Geneva Motor Show tahun ini, Brabus bukan sahaja membawa model-model yang dihasilkan oleh Mercedes-Benz, malah turut membawa sebuah model sub-1,000 cc, dihasilkan dari Smart Fortwo, digelar Brabus Ultimate 125 (secara teknikal, Smart juga dihasilkan syarikat yang sama dengan Mercedes-Benz iaitu Daimler AG).

Model istimewa ini dihasilkan hanya 125 unit dengan nombor berturutan khas oleh Brabus, dan pembeli boleh memilih sama ada mahu dari versi coupe atau cabriolet. Model yang dipaparkan ini merupakan model dengan nombor turutan 001/125, dan dihasilkan dari versi cabriolet, serta warna badan Blu Glauco.

Kereta kecil dengan dua tempat duduk ini menerima kit badan Brabus Widerstar yang meliputi flare pada semua ruang roda, lip spoiler pada bahagian hadapan serta tip ekzos dengan tiga muncung. Brabus turut memberikan sistem suspensi sport yang ditala khas untuk pengendaliannya, serta untuk merendahkan lagi kereta ini.

Brabus Ultimate 125 – kereta kecil berharga lebih RM230k, dengan enjin 898 cc berkuasa 125 hp/200 Nm

Dengan fender yang kini lebih lebar serta telah direndahkan secukupnya, Ultimate 125 turut menerima set rim Brabus Monoblock Y berdiameter 18-inci bagi melengkapkan rupanya. Rim bahagian hadapan menerima tayar berprestasi tinggi bersaiz 205/35R18, manakala bahagian belakang pula dibalut dengan tayar 235/30R18. Menurut Brabus, rim berkenaan antara yang paling ringan dalam pasaran di mana sepasang rim hadapan hanya 6.7 kg, dan belakang pula hanya 7.1 kg sepasang.

Masuk ke kabin, Brabus turut memberikan tema Blu Glauco pada bahagian ini, yang meliputi upholsteri pada tempat duduk dan bahagian serta kemasan-kemasan lain. Penggunaan kulit Mastik Brabus juga begitu meluas bagi memberikan sentuhan premium pada kebanyakkan perincian, selain dari tombol aluminium dan juga set pedal binaan keluli tahan karat. Walau bagaimanapun, pelanggan masih lagi ditawarkan dengan ciri opsyen lain sekiranya mereka mempunyai idea sendiri untuk dicurahkan pada bahagian dalaman kereta ini.

Brabus Ultimate 125 dijana enjin 898 cc tiga-silinder disuap dengan pengecas turbo menghasilkan kuasa 125 hp dan tork maksima 200 Nm, iaitu 35 hp/65 Nm lebih berkuasa dari Smart Fortwo standard. Kuasa berkenaan dapat diekstrak dengan pengubahsuaian dilakukan pada sistem kemasukan udara enjin, unit intercooler untuk sistem turbo yang lebih efisien, sistem ekzos binaan keluli tahan karat, serta talaan semula diberikan pada kotak komputer enjin.

Ini membolehkan kereta kecil ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksima pada 175 km/h. Walaupun diatas kertas kelihatan ia tidak liar seperti jentera binaan Brabus yang lain, perlu diingatkan, ia merupakan sebuah jentera yang sangat kecil dengan enjin tidak sampai 1,000 cc, dan pada asalnya direka hanya untuk kegunaan dalam bandar.

Kereta mewah dalam kerangka kecil Brabus Ultimate 125 ini dijual pada harga 49,980 euro (RM236,019) untuk versi coupe, manakala untuk versi cabriolet pula dijual dengan harga tambahan 2,820 euro (RM13,318). Kereta ini bukanlah kereta kecil pertama yang diberikan sentuhan mewah tidak masuk akal, dimana sebelum ini Aston Martin pernah menghasilkan model Cygnet diasaskan dari Toyota iQ.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required