Hyundai Sonata facelift dilancarkan di Korea

Hyundai Sonata facelift dilancarkan di Korea

Setelah teaser rasminya disiarkan, serta gambar penuhnya yang telah pun bocor, Hyundai Sonata generasi ketujuh versi facelift akhirnya dilancarkan secara rasmi di Korea Selatan. Model versi dipertingkat ini bakal dilancarkan pula pada pasaran global selepas diperkenalkan di negara asalnya.

Untuk pasaran Korea, Sonata facelift ditawarkan dengan empat pilihan enjin berbeza iaitu 1.7 liter VGT diesel (141 PS/340 Nm), 1.6 liter Gamma T-GDI petrol (180 PS/265 Nm), 2.0 liter Nu petrol (163 PS/196 Nm) dan enjin paling berkuasa 2.0 liter Theta T-GDI petrol dengan 245 PS/353 Nm.

Enjin dengan kapasiti bawah 2.0 liter akan dipadankan dengan transmisi tujuh-kelajuan klac berkembar DCT, enjin 2.0 liter NA dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan, manakala 2.0 liter turbo diberikan kotak gear lapan-kelajuan automatik.

Hyundai Sonata facelift dilancarkan di Korea

Bahagian luaran pada Sonata ini disegarkan semula dengan rekaan yang lebih tajam dan lebih agresif dari sebelum ini, dengan inspirasi diambil dari model i30. Pada bahagian hadapan, lampu utama yang lebih tirus diberikan, mengapit gril ‘cascading’ yang lebih bersegi.

Jalur lampu nyalaan siang LED pada kereta ini disekalikan dengan elemen jalur kemasan lain pada perumah lampu kabus. Khas untuk varian 2.0 liter turbo, lampu nyalaan siang dengan rekaan berbeza diberikan bersama lebih banyak elemen hitam.

Dari sisi, model facelift ini masih lagi kelihatan agak seiras dengan model sebelumnya, tetapi diberikan rim berdiameter 17- dan 18- inci baharu, bergantung pada varian. Bahagian belakang, Hyundai menampilkan lampu jenis ‘two-piece’ dan rekaan but lebih ringkas dengan perumah nombor pendaftaran kini dialihkan ke bampar. Reflektor pada bampar juga kini lebih tirus bagi menyeragamkan rekaan keseluruhan.

Hyundai Sonata facelift dilancarkan di Korea

Masuk ke kabin, keseluruhan papan pemuka model facelift ini masih kelihatan serupa seperti model asal dengan sedikit perubahan dilakukan pada suis-suis penghawa dingin dan sistem infotaimen. Kesemua varian kini diberikan skrin sesentuh 7-inci secara standard, manakala skrin lebih besar bersaiz 8-inci ditawarkan sebagai opsyen. Ia turut menyokong hubungan Apple CarPlay dan juga Android Auto.

Kesemua varian turut menerima roda stereng tiga-jejari rekaan baharu. Khas untuk varian 2.0 liter, ia menerima roda stereng dengan bentuk rata di bawah, bersama tempat duduk hadapan lebih sporty. Pengecas telefon pintar tanpa wayar turut diperkenalkan buat pertama kali, manakala ciri lain seperti tombol gear dan port USB pada konsol tengah diberikan sentuhan semula.

Hyundai Sonata facelift turut dilengkapi dengan pelbagai ciri bantuan pemanduan, antaranya Amaran Keluar Lorong, Pengesan Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik, Bantuan Lampu Tinggi, Lampu Selekoh Dinamik, dan juga fungsi Bantuan Kekal Lorong.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required