Awal bulan ini, G30 BMW 5 Series telah pun dikesan berada di Malaysia dan ini memberikan petanda ia bakal dilancarkan di sini tidak lama lagi. Model 5 Series generasi ketujuh yang diperkenalkan di peringkat global pada Oktober lalu, turut dikesan oleh seorang pembaca Prabakar Naidu yang sempat merakamkan video, dengan balutan penyamaran sedang diuji di sekitar Cyberjaya.

Foto yang dikesan menerusi spyshot sebelum ini, ia merupakan varian 530i, dengan pakej M Sport dan roda aloi M double-spoke 664M 19-inci, memungkinkan ia sebagai model tertinggi, mungkin bakal ditawarkan dalam kuantiti yang terhad. Kelihatan juga lampu utama LED adaptif, yang turut ditawarkan secara standard bagi model semasa F10 5 Series.

Di Thailand, ia juga telah dipasarkan dengan dua varian iaitu 530i M Sport dan 520d Luxury. Kedua-duanya adalah unit import sepenuhnya (CBU), dan ia bakal diproduksi dalam bentuk pemasangan tempatan (CKD) tidak lama lagi.

530i dijanakan enjin B48 2.0 liter turbo empat-silinder, yang mampu menghasilkan output 252 hp pada 5,200 rpm dan tork 350 Nm dari 1,450 hingga 4,800 rpm. Turut ditawarkan enjin yang sama bagi 520i dengan 180 hp/290 Nm, begitu juga dengan 520d yang masih menggunakan enjin 2.0 liter turbodiesel (190 hp/400 Nm) seperti sebelum ini. Ia dipadankan dengan kotak gear ZF automatik lapan-kelajuan untuk semua model.

Ia turut dilengkapi dengan banyak teknologi baharu, termasuklah skrin sesentuh 10.25-inci baharu, kawalan gerakan dan kawalan parkir, serta pemanduan semi-sendiri seperti kawalan kelajuan aktif dan bantuan kekal lorong.

Selain itu, ia turut menampilkan bumbung kaca panorama, kamera pandangan 360 darjah, pedal penukar gear, sistem bunyi sekeliling Harman Kardon dan pengecas tanpa wayar bagi telefon bimbit. Walau bagaimana pun, tidak diketahui spesifikasi untuk pasaran Malaysia.