Airbus Pop.Up – konsep kereta terbang unik, boleh jadi kenyataan dalam masa 7 ke 10 tahun akan datang

Sesuatu yang unik muncul semasa Geneva Motor Show – sebuah kereta kecil dua tempat duduk, tetapi bila dilihat bahagian atasnya, mempunyai sambungan empat bilah seperti quadcopter. Ini adalah kereta konsep hasil kerjasama pengeluar kapal terbang, Airbus dan syarikat automotif Italdesign, yang dinamakan sebagai Pop.Up.

Istimewanya kereta yang dikuasakan oleh elektrik ini, ia boleh digunakan sama ada di atas jalan biasa, mahupun terbang untuk kebebasan. Jangan risau, jika anda ingin memandunya di atas jalan biasa, bahagian kipas itu tidak perlu dibawa kerana ia boleh dicabut dan hanya akan datang bila diperlukan.

Airbus Pop.Up – konsep kereta terbang unik, boleh jadi kenyataan dalam masa 7 ke 10 tahun akan datang

Bermaksud, apabila anda ingin terbang, setelah membuat tempahan melalui aplikasi, bahagian kipas itu akan datang sendiri kepada kereta, bersambung, dan membawa anda terbang. Sebaik tiba di sesuatu destinasi, jika anda bercadang untuk memandu atas jalan biasa, kipas tersebut akan ditanggalkan dan terbang balik ke pusat kawalannya.

Walaupun masih adalah sebuah kenderaan konsep, Airbus memberitahu bahawa Pop.Up berada di landasan yang betul untuk diperkenalkan kepada pasaran dalam masa 7 ke 10 tahun lagi. Selain kereta itu sendiri, mereka juga perlu berhadapan dengan pelbagai peraturan untuk operasi kenderaan udara di kawasan urban.