UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) telah melancarkan bilik pameran Toyota baharu yang terletak di Pusat Komercial Jalan Kuching, Jalan Kepayang off Jalan Kuching iaitu di Segambut, Kuala Lumpur. Bilik pameran baharu ini adalah kemudahan para pelanggan yang berada di kawasan berhampiran. Malahan Pusat 2S (servis dan alat ganti) yang terletak di Kawasan Perusahaan Segambut juga telah diperbaharui bagi memenuhi permintaan selepas jualan.

“Peningkatan jumlah kenderaan Toyota mendorong kami untuk memperkembangkan fasiliti dan daripada kajian kami, pusat 2S di Segambut memerlukan ruang tambahan berdasarkan pertambahan para pelanggan. Oleh itu, kami meluaskan lagi cawangan ini untuk perkhidmatan selepas jualan, dalam masa yang sama membuka bilik pameran baahru bagi para pelanggan yang ingin membeli kenderaan Toyota,” ujar Ravindran Kurusamy, Presiden UMW Toyota Motor.

Bilik pameran baharu ini dibina dengan kos sebanyak RM1 juta dan mengikut konsep ‘Toyota’s Nexr Generation Showroom’. Ia boleh menempatkan tiga model kenderaan dalam satu masa. Malahan turut menyediakan ruang menunggu untuk para pelanggan, lengkap dengan wifi percuma.

Setakat ini, Toyota memiliki hampir 100 pusat jualan dan servis di seluruh Malaysia termasuk Sabah, Sarawak, Labuan dan Langkawi.