Susulan pendedahan peringkat global, Nissan GT-R Track Edition 2017 bakal dilancarkan di Amerika Syarikat (USA) pada penganjuran New York International Auto Show yang bakal berlangsung April ini. Model Track Edition ini diposisikan antara varian Premium dan Nismo dalam barisan GT-R di USA, dengan harga bermula USD127,990 (RM565,395).

Lima warna luaran ditawarkan untuk pelanggan di USA – Solid Red, Jet Black, Super Silver, Pearl White dan Blaze Metallic.

Melibatkan penambahbaikan casis, jentera ini juga didatangkan dengan suspensi Bilstein Damptronic bersama talaan perlumbaan untuk kestabilan yang lebih pada laluan lurus serta di selekoh. Malahan Track Edition ini turut menampilkan bar anti-oleng 17.3 mm (model Premium 15.9 mm) pada bahagian belakang juga telah dipadankan untuk memberikan ketegaran badan yang lebih baik serta mengurangkan berat.

Malahan sambungan yang dibangunkan khas turut dipadankan pada suspensi double wishbone di hadapan, di mana ia mampu meningkatkan jejak lereng bagi menambahkan kemantapan dan kestabilan sewaktu dipandu di selekoh.

Track Edition ini juga menerima beberapa elemen Nismo, termasuklah fender hadapan GT-R Nismo, roda aloi-aluminium enam-jejari Nismo 20-inci, spesifikasi Nismo, tayar Dunlop Sport Maxx GT600 yang diisi nitrogen, dan spoiler belakang gentian karbon.

Sementara itu, bahagian kabinnya menerima bentangan warna hitam dan merah, dipadankan bersama tempat duduk Recaro dan plak istimewa pada konsol tengah untuk identitinya.

Tiada perubahan kuasa, ia masih mengekalkan enjin VR38DETT 3.8 liter V6 turbo berkembar sama dengan model standard tanpa apa-apa perubahan, berkuasa 570 PS dan tork maksima 637 Nm. Kuasa dari enjin juga masih disalurkan ke kesemua roda menerusi kotak gear klac-berkembar enam-kelajuan.