BMW 5 Series G 30 terjah pasaran Malaysia secara rasmi – 530i 2.0 liter turbo, 8-kelajuan, RM398,800

BMW 5 Series G 30 terjah pasaran Malaysia secara rasmi – 530i 2.0 liter turbo, 8-kelajuan, RM398,800

Setelah setahun Mercedes-Benz E-Class W213 tanpa saingan sebenar dalam pasaran, akhirnya BMW 5 Series G30 secara rasminya di lancarkan di Malaysia. Buat permulaan, 5 Series generasi ketujuh ini hanya ditawarkan dalam varian 530i, dan hadir dalam versi diimport sepenuhnya (CBU).

Untuk pasaran Malaysia, 530i G30 dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM398,800. Ia ditawarkan dengan warna Black Sapphire, Sophisto Grey Brilliant Effect, Alpine White dan Mediterranean Blue. Warna luaran berkenaan akan dipadankan dengan upholsteri dalaman berwarna hitam (Leather Dakota Black) yang diserlahkan dengan jahitan biru atau Kulit Dakota Cognac bersama jahitan berwarna kontras (hanya untuk warna putih, kelabu dan hitam). Setiap pembelian akan diberikan perlindungan waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan.

5 Series G30 ini diperkenalkan untuk peringkat global buat pertama kali pada Oktober tahun lalu, dan dibina berasaskan platform modular baharu Cluster Architecture (CLAR), asas yang sama untuk pembinaan 7 Series G12. Dengan dimensi 4,936 mm panjang, 1,868 mm lebar dan 1,479 mm tinggi, G30 ini ternyata lebih besar dari model sebelumnya dengan ukuran 37 mm lebih panjang, 8 mm lebih lebar dan 17 mm lebih tinggi berbanding 5 Series F10.

Walaupun ia kini lebih besar, model baharu ini sebenarnya 100 kg lebih ringan dari sebelum ini. BMW berjaya mengurangkan berat kereta ini tanpa struktur asas karbon seperti 7 Series, dan hanya bergantung pada aluminium, keluli berketegaran tinggi serta magnesium. Kekuatan badan dan ketegaran torsi juga telah dipertingkatkan.

BMW 5 Series G 30 terjah pasaran Malaysia secara rasmi – 530i 2.0 liter turbo, 8-kelajuan, RM398,800

Untuk rekaan luaran, 5 Series generasi baharu ini menampilkan rekaan muka signatur terkini dengan lampu hadapan bersambung bersama gril ‘kidney‘ tradisi BMW. Ia diberikan lampu hadapan LED Adaptif BMW sepenuhnya serta lampu nyalaan siang LED yang kini dipertingkatkan dengan lampu berbentuk bulat serta lampu tinggi yang menawarkan jarak sehingga 500 meter.

Pada bahagian sisi, liang aliran udara diberikan pada bahagian belakang ruang roda hadapan yang berperanan untuk mengurangkan tekanan pada ruang roda berkenaan – bersama udara kemasukan dari liang hadapan bagi memberikan aerodinamik lebih baik dengan pekali geseran sehingga 0.22 cd. Di bawah garis bahu utama, satu lagi garis badan diberikan bermula dari bahagian atas roda hadapan, hingga ke bahagian tiang-C.

Bahagian belakang G30 ini menampilkan lampu tipikal berbentuk-L BMW, seiras dengan model-model terkini jenama berkenaan. Dengan pakej penampilan M-Sport, ia hadir bersama rim 19-inci berwarna hitam serta brek M-Sport berwarna biru, dan juga kit badan M Aerodynamics yang didatangkan dengan warna badan terdiri dari penutup sil sisi, apron hadapan dan belakang.

Masuk kebahagian dalaman, G 30 diberikan tempat duduk hadapan dengan larasan berkuasa, membolehkan pemandu mendapatkan posisi pemanduan terbaik serta dengan bentuk yang sporty. Papan pemuka generasi terkini ini direka lebih tirus berbanding model terdahulu bersama skrin iDrive utama baharu yang berdiri sendiri.

BMW 5 Series G 30 terjah pasaran Malaysia secara rasmi – 530i 2.0 liter turbo, 8-kelajuan, RM398,800

Kabin model baharu ini juga diberikan lampu suasana pelbagai warna, serta sistem audio 600 watt Harmann Kardon dengan 16-pembesar suara, selain dari sistem penghawa dingin automatik empat-zon. Selain itu, 530i turut diberikan kemasan bendul pintu M bernyala, roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit M da juga set pedal sport M.

Bagi sistem infotaimen iDrive, ia masih lagi bleh dikawal menggunakan gestur, suara asli atau sentuhan kepada skrin besar bersaiz 10.25-inci. Apa yang berbeza, susunan enam petak pada interface kini telah dibahagikan kepada dua bagi memberikan info langsung pada masa yang sama. Petak-petak berkenaan masih lagi boleh disusun semula oleh pemilik, seperti interface pada telefon pintar atau tablet.

5 Series generasi baharu ini turut diberikan kunci dengan paparan LCD berwarna dan panel kawalan sentuh digelar BMW Display Key yang boleh menunjukkan pelbagai maklumat tentang status kenderaan. Sistem Comfort Access turut diberikan bagi memudahkan bukaan but belakang tanpa mnggunakan tangan. BMW ConnectedDrive diberikan secara standard yang menawarkan kemudahan Intelligent Emergency Call, BMW Teleservices, Concierge Services dan Remote Services.

Untuk model 530i ini, ia dijana enjin petrol B48 2.0 liter empat-silinder turbo dengan valvetronic dan double-VANOS, menghasilkan kuasa 252 hp/350 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan dari ZF, dan mampu mencatatkan 6.2 saat untuk pecutan 0-100 km/j, sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Penggunaan bahan api pula dicatatkan pada 5.8 liter untuk setiap 100 km dalam kitaran gabungan, serta menghasilkan 132 gram karbon dioksida untuk setiap 1 km.

BMW 5 Series G 30 terjah pasaran Malaysia secara rasmi – 530i 2.0 liter turbo, 8-kelajuan, RM398,800

Bagi pengendalian pula, G30 diberikan suspensi double wishbone pada bahagian hadapan serta gandar belakang dengan hubungan lima bahagian, yang lebih ringan serta lebih canggih dari sebelum ini, memberikan stabiliti dan kelincahan yang lebih baik, serta mengurangkan daya olengan tanpa mengorbankan keselesaan. Cagak serta sistem sokongan yang lebih besar turut membantu untuk menjadikan kereta ini lebih senyap.

Ia turut dibantu sistem Driving Experience Control yang akan menghubungkan enjin, unit janakuasa dan casis untuk menyesuaikan keadaan pemanduan, dan kini turut menerima mod Adaptive bagi tambahan kepada mod Eco Pro, Comfort dan Sport. Mod baharu berkenaan membolehkan semuanya dilaraskan secara automatik berdasarkan corak pemaduan dan juga laluan yang bakal ditempuhi, mengambil input dari pedikit, stereng, posisi tuil penukar gear serta data navigasi.

G30 turut menerima sistem pemaduan separa-automatik menerusi sistem Cruise Control aktif dengan fungsi Stop&Go yang boleh beroperasi dari kedudukan pegun hingga kelajuan 210 km/j, dan ia turut boleh mengesan dua kenderaan di hadapannya bagi pemanduan yang lebih lancar, serta mampu membuat keputusan pada susur keluar lebuhraya dan juga pada laluan bulatan.

5 Series baharu ini turut diberikan Lane Departure Warning dan Lane Change Warning, selain dari fungsi Approach Control Warning & Person Warning dengan City Brake. Sistem itu akan memberi amaran dan membrek pada kelajuan antara 10km/j sehingga 60km/j untuk manusia dan mencecah 80km/j bagi kenderaan lain.

Sekiranya kemalangan tidak dapat dielakkan, fungsi City Braking akan membantu mengurangkan impak pelanggaran. Approach Control Warning pula akan memberi amaran jika pelanggaran mungkin berlaku dengan kenderaan di hadapan pada kelajuan lebih tinggi. Ia berfungsi dengan mememastikan respon brek diberikan lebih pantas dan jarak membrek yang lebih pendek.

Ciri baharu lain yang diberikan adalah Amaran Lintasan Trafik, digabungkan dengan kamera undur, yang akan memberikan amaran secara visual dan akustik kepada pemandu sekiranya ia mengesan pemandu berkenaan membuat jangkaan yang salah, serta memberikan brek awalan bagi memendekkan jarak berhenti.

Rakan penulis kami dari paultan.org bahasa inggeris, Jonathan Lee, telah menguji 5 Series generasi baharu ini dalam versi lebih tinggi 540i di Lisbon, Portugal, sebelum ianya dibawa ke Malaysia, dan anda boleh membaca ulasan tersebut di sini. Anda juga boleh lihat spesifikasi penuh model baharu ini pada laman Carbase.my.

GALERI:Gambar rasmi BMW 5 Series G30

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required