Di dalam sesi Dewan Rakyat yang berlangsung semalam, sekali lagi isu berkaitan perkhidmatan Dego Ride dibangkitkan. The Sun melaporkan, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi dalam jawapan balasnya berkata, perkhidmatan itu akan membantutkan matlamat dan usaha Malaysia untuk menjadi sebuah negara membangun.
Beliau merujuk kepada beberapa negara maju lain, seperti Singapura, Tokyo dan New York di mana perkhidmatan perkongsian motosikal tidak terdapat di sana sebagai sebahagian penyelesaian pengangkutan dalam kota.
“Kita sedang berusaha untuk menjadi sebuah negara membangun. Kita ingin mengikut jejak sistem yang digunakan di bandar-bandar besar lain (seperti yang dinyatakan) yang lebih maju dan bukan sebaliknya,” tambah beliau.
Kenyataan ini adalah sebagai jawapan balas kepada pertanyaan yang diajukan berkenaan mengapa perkhidmatan yang sangat sinonim dan berkesan seperti yang ada di Jakarta, Bangkok dan Manila itu tidak dibenarkan di sini.
Aziz menjelaskan, keadaan di bandar-bandar itu berbeza dengan apa yang boleh dan telah ditawarkan di Kuala Lumpur berkaitan perkhidmatan pengangkutan awam yang disediakan. “Di KL kini ada monorail, LRT dan MRT sebagai jaringan pengangkutan awamnya,” tambah beliau.
Mengulas tentang mengapa kerajaan membenarkan perkhidmatan Grab dan Uber pula, Aziz memaklumkan perkhidmatan itu menawarkan pilihan pengangkutan tambahan dan selamat terutama dalam bandar. “Pilihan pengangkutan yang ada kini sudah banyak, dan kerajaan tidak berhasrat untuk melanjutkannya kepada motosikal pula kerana kita inginkan sebuah bandar yang mapan dan mesra alam,” tambahnya.
Februari lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai mengarahkan Dego Ride untuk memberhentikan perkhidmatannya, dan memaklumkan penyedia perkhidmatan itu akan dikenakan tindakan tegas sekiranya enggan mematuhi arahan berkenaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.