Ford sebelum ini sudah mendedahkan gambar serta perincian berkenaan Mustang 2018, yang merupakan model generasi keenam versi facelift. Selain perkara utama seperti enjin 2.3 liter EcoBoost dan juga 5.0 liter Coyote V8, Ford juga mahu menunjukkan perincian kecil lain yang jika tidak diberitahu, mungkin boleh terlepas pandang oleh kebanyakan orang.

Ia berada pada butang pemula enjin kereta tersebut, iaitu nyalaan merah berkelip. Walaupun nampak biasa, sebenarnya kelipan yang dihasilkan pada butang tersebut adalah mengikut kelajuan denyutan nadi seekor kuda sewaktu ia sedang dalam keadaan berehat, iaitu 30 bpm.

Menurut Ford, kelipan ini terhasil apabila pintu dibuka, sehinggalah enjin dimulakan, dan ia memberi gambaran seperti “kuda tersebut sudah sedia untuk beraksi”. Selain membawa simbolik nama kenderaan itu sendiri, perkara ini juga mungkin dipilih kerana Mustang sentiasa dipadatkan dengan kuasa kuda yang mengujakan.

Butang pemula ini terletak berhampiran sisi pemandu, di bawah sistem audio dan pengawal suhu kenderaan di konsol tengah. Mempunyai kemasan keliling krom, tulisan ‘Engine’, ‘Start’ dan ‘Stop’ pada butang ini turut mempunyai nyalaan lampu berwarna merah.