Mungkin hadirnya bukanlah begitu mengundang keterujaan, tidak seperti ‘adik-adiknya’ iaitu Honda BR-V yang dilancarkan pada awal tahun ini, juga tidak dilupakan HR-V yang hadir di Malaysia pada tahun lalu, di mana kedua-duanya telah yang mencetus fenomena luar biasa di pasaran tempatan.

Malah Civic 2016 dan pengenalan City 2017 baru-baru ini juga dilihat menunjukkan angka tempahan dan jualan yang memberangsangkan. Tidak menghairankan apabila Honda Malaysia mampu mencatatkan jualan sebanyak 100,000 unit bagi tahun kewangan semasa (1 April 2016 hingga 31 Mac 2017).

Waima tidak banyak, mungkin Accord 2017 facelift ini juga memberikan sumbangan dalam jumlah 100,000 unit tersebut, lantas ia memang tidak wajar diketepikan. Ini kerana hadirnya turut memberikan persaingan sengit buat model-model yang sama segmen dengannya, termasuk Toyota Camry dan Nissan Teana.

Apa yang ada pada Accord facelift yang muncul di pasaran tempatan pada September lalu? Baru-baru ini, Honda Malaysia telah menganjurkan sesi pandu uji model berkenaan ke Kuantan, Pahang, bersama media permotoran tempatan, sekaligus memberikan peluang kepada kami untuk membongkar apa kelebihan yang ada pada model sedan premium ini.

Kesemua unit pandu uji tersebut adalah model berkapasiti 2.4 VTi-L, iaitu spesifikasi tertinggi selepas model 2.0 VTi-L. Seperti yang semua sedia maklum, bagi pasaran Malaysia, Accord facelift hanya didatangkan dengan dua pilihan enjin iaitu 2.0L dan 2.4L. Namun bagi enjin 2.0L, ia hadir dengan dua varian iaitu 2.0 VTi dan 2.0 VTi-L. Manakala 2.4L hanya dengan varian tunggal bersama spesifikasi tertinggi, 2.4 VTi-L.

Disebabkan hanya Accord 2.4 VTi-L yang disediakan, ketepikan dahulu varian 2.0L. Dan memandangkan tiada perubahan mekanikal yang dilakukan bagi Accord facelift ini, lantas tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai pengendalian dan prestasinya. Ia masih sama seperti model sebelum ini.

Dengan enjin 2.4 liter DOHC i-VTEC bersama teknologi Earth Dreams, ia mampu menghamburkan kuasa 172 hp pada 6,200 rpm dan tork 225 Nm pada 4,000 rpm. Malahan Honda turut mengekalkan kotak gear konvensional automatik lima-kelajuan yang sama, tanpa memaklumkan jika ada perancangan untuk menukarnya ke CVT seperti mana yang dilakukan pada model City 2017 dan Civic baharu.

Setakat ini, di Malaysia, hanya Accord dan CR-V sahaja yang masih kekal dengan kotak gear konvensional automatik. Sebaliknya, model-model lain Honda di pasaran termasuk HR-V, BR-V dan Jazz telah beralih ke transmisi CVT. Mungkin Honda akan menukarkannya ke CVT bagi model serba baharu kelak.

Walau bagaimana pun, gabungan enjin dengan kotak gear ini memang tiada masalahnya. Malah ia saling memberikan kerjasama bagi menghasilkan prestasi yang cukup memuaskan. Enjin berkapasiti 2.4 liter yang dibangunkan oleh Honda ini memang tidak perlu dipertikaikan tahap keupayaannya menghasilkan hamburan kuasa yang menguja. Ia tidak perlu dikerah untuk menghasilkan kuasa yang lebih pantas dan memuncak.

Begitu juga dengan kotak gear automatik ini, ia tahu bila masa yang sesuai untuk menukar gear, tidak lambat dan tidak juga cepat. Cuma bila mahu pacuan yang lebih padu dan agresif, tukar saja mod pemanduan ke Sport dengan kawalan gear sendiri menerusi pedal penukar gear di belakang roda stereng.

Malah ketika mengawal Accord facelift di laluan berselekoh seperti di Lebuhraya Karak, memang agak menyeronokkan. Tika ini, prestasi Accord boleh diuji sepenuhnya. Adakalanya pacuan terpaksa dihadkan kerana atas faktor jalan sedang dalam penyelenggaraan atau aliran trafik yang sedikit sibuk.

Namun sedikit rasa gundah apabila terasa roda sterengnya agak ringan termasuk ketika memandu laju. Putaran sterengnya sedikit sahaja sudah boleh mengubah arah walau pun tidak begitu mempengaruhi peralihan tayar. Kebiasaannya kebanyakan model lain, stereng terasa ringan bila dalam kelajuan rendah atau sederhana, dan bertukar karakter menjadi berat ketika kenderaan dipandu laju.

Mengenai keselesaannya, setakat ini boleh dikatakan semua model kenderaan keluaran Honda tidak mengalami masalah tentangnya. Sama seperti model-modelnya yang lain, Accord facelift juga begitu. Sama ada sebagai pemandu atau penumpang, ia tetap memberikan keselesaan yang cukup optimum.

Accord facelift ini menggandingkan topang MacPherson di hadapan dan Multi-link di belakang bagi memantapkan lagi sistem suspensi. Manakala sistem brek pula dikawal oleh cakera Ventilated di hadapan dan cakera Solid untuk belakang. Accord ini juga diberikan brek kaki untuk parkir.

Sewaktu sesi pandu uji ini, pemanduan secara bergilir-gilir, jadi memberikan peluang kepada saya untuk memandu dan bersandar rehat di tempat duduk penumpang belakang. Rasa bumpy ketika melalui jalan berselekoh atau permukaan yang kurang rata, agak minimal.

Accord 2.4 VTi-L ini turut diberikan rim bersaiz 18-inci yang dibaluti tayar 235/45R18, dan cukup mantap ketika berada di selekoh dengan kelajuan yang agak tinggi kerana roda ini agak berat.

Tiada perubahan daripada segi ukuran dimensinya, ia masih mengekalkan saiz 4,935 mm bagi panjang, 1,850 mm lebar, 1,465 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,775 mm.

Selain prestasi dan kuasanya, Accord facelift ini memang menarik dari pandangan luaran dan dalamanya. Biar pun tidak diubah secara maksimum, namun imejnya telah dipertingkatkan seiring dengan perkembangan semasa. Malahan imej hadapannya juga setanding dengan model-model baharu lain yang dilahirkan oleh Honda.

Untuk bahagian hadapannya, ia dilengkapi dengan gril hadapan berserta gaya baharu Solid Wing ciptaan Honda serta bar krom yang tebal. Dipadankan dengan lampu utama LED bersama pelarasan automatik dan turut dilengkapi dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED baharu, membuatkan ia lebih menawan.

Bahagian belakang juga diberi nafas yang lebih segar dengan beberapa elemen baharu termasuk trunk lid yang ditampilkan rekaan krom seperti bersambung dengan kedua-dua lampu belakang. Selain itu, elemen baharu yang ditampilkan termasuk lampu belakang LED, lampu kabus dan juga bampar belakang dengan rekaan krom.

Untuk bahagian kabinnya, perubahan yang ditampilkan ialah kekemasan kayuan baharu, skrin paparan pelbagai-info (i-MID) berwarna bersaiz 7.7-inci baharu dan skrin sentuh tujuh-inci bagi audio dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Selain itu, panel instrumen juga ditampilkan dengan gayaan baharu yang lebih segar.

Elemen lain yang turut ditampilkan termasuklah kemasukan pintar dengan butang penghidup enjin, butang ECON, One-touch Lane Change, kawalan kelajuan, cermin pandang belakang dengan anti silau, pendingin hawa dua-zon, corong penghawa dingin untuk tempat duduk belakang, soket MP3/iPod/USB/HDMI, kawalan bebas tangan bagi telefon bimbit dan pengesan suara, sistem bunyi premium dengan subwoofer dan enam-pembesar suara serta roda stereng tiga-jejari balutan kulit.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan pedal penukar gear, upholsteri tempat duduk dengan material kulit berwarna hitam serta lapan-cara pelarasan bagi tempat duduk pemandu dan empat-cara pelarasan bagi tempat duduk penumpang hadapan.

Bukan itu sahaja, elemen seperti Kawalan Bunyi Bising Aktif (ANC) dan Kawalan Bunyi Aktif (ASC) turut ditawarkan pada Accord facelift 2017 ini.

Bagi aspek keselamatan, elemen standard yang ditampilkan untuk semua varian termasuklah enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), ABS dengan EBD, Bantuan Mula Mendaki, Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS), dua pengesan sudut hadapan, empat pengesan sudut belakang dan cagak Isofix.

Walau bagaimana pun, seperti model sebelum ini, 2.4 VTi-L turut menerima elemen keselamatan premium iaitu Kamera Pandang Belakang Pelbagai-Sudut, Honda LaneWatch Camera, Active Cornering Light dan Hydrophilic Door Mirror.

Barisan Accord facelift ini didatangkan dengan pilihan warna Modern Steel Metalic, Crystal Black Pearl bersama tiga warna baharu iaitu Obsidian Blue Pearl, Lunar Silver Metallic dan warna premium dengan pertambahan kos sebanyak RM400 bagi White Orchid Pearl.

Bagi varian 2.4 VTi-L ini, ia ditawarkan dengan harga atas jalan (termasuk GST dan insurans) RM172,800. Ia didatangkan dengan waranti selama lima-tahun tanpa perbatuan terhad, tempoh servis diperpanjang kepada 10,000 km serta enam servis buruh percuma yang diselang-seli bersama servis berbayar sehingga 100,000 km.