Menurut laporan yang disiarkan oleh Autoblog Hungary, Mercedes-Benz boleh meluaskan barisan kereta kompaknya kepada lapan model. Ini didedahkan oleh Marco Ebler, pengurus produk bagi kereta kompak Mercedes, dalam kenyataan yang dikeluarkan dari Hungary.

Buat masa ini, lima model bagi barisan itu termasuk A-Class, B-Class, CLA< CLA Shootimg Brake dan GLA. Model baharu pertama bagi perancangan ini mungkin sedan A-Class, yang dipertontonkan dengan bentuk Aesthetics A pada Januari lalu. Autocar turut melaporkan, model konsep tersebut juga akan muncul di Shanghai Motor Show pada pertengahan bulan ini. A-Class sedan ini mampu bersaing dengan Audi A3 sedan, BMW 1 Series sedan, dan akan diposisikan di atas CLA.

Ia juga dilaporkan akan menggunakan platform Modular Front Architecture (MFA) dengan versi yang telah dipertingkatkan, bersama penjana kuasa pacuan roda-hadapan dan pacuan semua-roda. Walau bagaimana pun, belum dipastikan adakah A-Class sedan ini bakal menjadi model eksklusif untuk pasaran China sahaja, sama seperti model 1 Series sedan.