Jika anda mempunyai bayi, pastinya anda pernah berhadapan situasi di mana bayi anda kadang-kala susah untuk mula tidur. Tetapi, kebiasaannya bayi amat mudah untuk tertidur sendiri di dalam kereta bukan?

Oleh itu, Ford telah membina sebuah tempat tidur bayi yang memberikan simulasi seakan di dalam kereta, dengan keselesaan di dalam rumah. Tempat tidur yang digelar Max Motor Dreams berkenaan menghasilkan pergerakan, bunyi dan juga cahaya lampu jalan yang masuk kabin kereta ketika dipandu pada waktu malam.

Data simulasi berkenaan akan diberikan kepada Max Motor Dreams menerusi aplikasi telefon pintar, yang setiap pergerakan dan bunyi tersebut dirakam daripada kereta pemilik, bagi memberikan simulasi sama seperti di dalam kereta ibu bapa bayi tersebut sendiri.

“Selepas beberapa tahun berinteraksi dengan ibu dan bapa, kami tahu bahawa mereka kerap terdesak untuk mendapatkan tidur malam yang baik. Tetapi selepas pemanduan dalam kereta keluarga yang mampu menidurkan bayi dengan berkesan, ibu bapa berkenaan masih lagi perlu berjaga dan menumpukan perhatian kepada pemanduan.,” kata pereka Max Motor Dreams Alejandro López Bravo dari studio kreatif Espada y Santa Cruz, Sepanyol, yang menghasilkan rekaan tersebut.

Buat masa ini, hanya sebuah Max Motor Dreams dihasilkan sebagai model prototaip permulaan. Tetapi setelah menerima berberapa permintaan, Ford mempertimbangkan untuk menghasilkan tempat tidur unik ini secara produksi penuh.