Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd Datuk Ir Zohari Sulaiman mengesahkan Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) fasa kedua dari Semantan ke Kajang dijangka beroperasi sepenuhnya Julai ini.
Ia melibatkan laluan sejauh 30 kilometer dan mempunyai 19 buah stesen, kini dilaporkan telah 97% siap dan sedang menjalani proses pembinaan peringkat terakhir termasuk pembinaan, reka bentuk dalaman, struktur pintu masuk, laluan pejalan kaki, landskap dan pemasangan peralatan sistem elektrikal dan mekanikal.
Tambah Zohari lagi, ia adalah kesinambungan laluan fasa pertama dari Sungai Buloh ke Semantan yang beroperasi Disember tahun lepas, laporan Bernama.
Fasa Kedua melalui kawasan berpopulasi tinggi seperti Kajang dan Cheras serta destinasi popular pelancong seperti Muzium Negara dan Pasar Seni yang sebelum ini tidak mendapat liputan meluas pengangkutan awam. Bagi memastikan kesalinghubungan yang lancar, laluan Sungai Buloh-Kajang Fasa Kedua ini bakal mempunyai enam stesen pertukaran yang menyambungkan rangkaian MRT dengan rangkaian perkhidmatan tren yang lain seperti LRT, KTM, Monorel, KLIA Ekspres dan KLIA Transit.
Stesen MRT Fasa Kedua ini berlokasi di Muzium Negara, Pasar Seni, Dataran Merdeka, Bukit Bintang, Maluri dan Kajang. Kemudahan Park N’ Ride turut disediakan di stesen MRT terpilih di bawah Fasa Kedua ini seperti Maluri, Taman Midah, Taman Suntex, Sri Raya, Bandar Tun Hussein Onn, Bukit Dukong, Sungai Jernih dan Kajang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.